Pemerintah Yaman di Sanaa hari ini mengumumkan menyertai secara rasmi perang di Gaza, Palestin.
Jurucakap tentera kerajaan Houthi, Brigader Jeneral Yahya Saree berkata pihaknya akan terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah wilayah ditakluk Zionis.
Menurutnya, tindakan ini sebagai menyokong dan membantu saudara umat Islam di Palestin yang sedang berjuang menentang penjajah.
Pasukan tentera Yaman ini telah beberapa kali melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Tel Aviv dan wilayah ditakluk Zionis dan akan meneruskan serangan.
Minggu lalu, sebuah kapal perang Amerika Syarikat mendakwa berjaya menembak peluru berpandu menuju wilayah Palestin diduduki di ruang udara Laut Merah.
Insiden itu merupakan kali pertama tindakan konkrit daripada pihak Houthi diketahui umum.
Menurut jurucakap tentera Yaman itu, tindakan ini ialah berasaskan tanggungjawab agama dan kemanusiaan, untuk membantu warga Palestin yang ditindas dan dizalimi.
“Pasukan tentera kami telah melancarkan sejumlah besar peluru berpandu dan dron mensasarkan beberapa lokasi terhadap pihak Israel di wilayah diduduki.”
“Tentera Yaman mengesahkan operasi terbaru ini ialah yang ketiga dijalankan untuk membantu saudara kami yang ditindas di Paleastin,” katanya, sambil menegaskan serangan akan diteruskan sehingga pihak Israel menghentikan keganasan.
Tambahnya lagi, “Kami menegaskan bahawa sikap kami dalam isu Palestin ialah berdasarkan prinsip yang tegas, bahawa rakyat Palestin mempunyai hak sepenuhnya untuk mempertahakan diri bagi mencapai matlamat mendapatkan hak mereka yang sah.”
Pihak tentera Yaman itu turut membuat satu penegasan bahawa pihak Israel yang bertanggungjawab menyebabkan rantau itu tidak stabil ekoran tindakan-tindakan jenayahnya.
Perkembangan ini mendekatkan lagi rantau Arab dengan perang yang lebih luas, kerana kedudukan Houthi sebagai pemerintah yang berkuasa di Sanaa dan semakin mendapat pengiktirafan, walaupun sebelum ini terpinggir kerana hubungan dengan Iran.
Ini juga meningkatkan profil Iran kerana penglibatan Houthi yang kini berperanan sebagai kerajaan di Yaman boleh dilihat sebagai satu tindakan berani dan konkrit daripada kumpulan yang disokong Tehran.
Pengumuman tentera Yaman ini juga semakin mengesahkan yang apa yang berlaku di Gaza berpotensi melimpah ke luar daripada Palestin, melibatkan lebih banyak kuasa-kuasa serantau.
Pengumuman ini juga sejak awal terus diterima banyak pihak sebagai mewakili Yaman dan bukan sekadar Houthi, malah dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam penyatuan umat Islam berdepan Israel.
Walau bagaimanapun, perkembangan ini masih di peringkat awal, dan kuasa-kuasa serantau termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan negara-negara Arab lain belum menunjukkan pendirian berhubung hal ini.