Yaman Selatan Pasti Wujud Semula?

Republik Yaman telah melalui sejarah pemerintahan dan politik yang pelbagai dalam tempoh seabad lalu.

Yaman yang wujud pada hari ini, sebuah republik yang bersatu masih agak baru, yakni bermula pada tahun 1990.

Tahun 1990 berada dalam tempoh permulaan keruntuhan komunisme pimpinan Kesatuan Soviet di seluruh dunia.

Pada Disember 1991, negara Kesatuan Soviet Rusia secara rasmi berakhir. Perpecahan dan kemerosotan negara-negara jajahan dan satelit serta sekutu berakhir sekitar tempoh itu.

Yaman Selatan, satu-satunya negara sosialis di dunia Arab semasa hayatnya, berakhir apabila penyatuan dengan Yaman Utara berlaku.

Republik baharu Yaman muncul sebagai sebuah negara demokrasi menurut acuan moden, yang bermodelkan Barat.

Tidak jauh dari Yaman, di seberang sebelah utara Laut Merah, Mesir juga pernah kuat dipengaruhi sosialisme dan Rusia, tetapi akhirnya lebih cenderung ke Amerika Syarikat.

Yaman Selatan tetap tercatat dalam sejarah sebagai sebuah negara sosialis di dunia Arab pada masa persaingan komunis dan Barat sengit sepanjang Perang Dingin.

Yaman juga menjadi perhatian jirannya Arab Saudi – sekutu kuat AS – dan menjadi medan penyebaran fahaman Wahabi, sebahagiannya sebagai cara melawan sosialisme.

Akar sosialisme di Yaman kekal kukuh, dan hubungan tidak harmoni dengan pusat kuasa di Sanaa, dan oleh pemimpin utama, keluarga, dan kabilah berpengaruh membantu mengekalkan sentimen di selatan.

Kekuatan yang disaksikan pada Gerakan Selatan pada masa kini ialah bukti kesinambungan sentimen selatan yang terus kuat, walaupun Majlis Peralihan Selatan (STC) mungkin tidak mewakili semua suara di selatan.

Pemimpin STC di selatan juga kekal berhubungan baik dengan Rusia, walaupun kini ideologi dianuti bukan lagi sosialisme seperti dahulu.

Kepentingan geopolitik terus kekal kerana faktor ini tidak mengenal ideologi, pada kedua-dua pihak Rusia dan selatan Yaman.

Gerakan kemerdekaan Yaman Selatan kali ini yang paling kuat disaksikan, tetapi ini bukan kali pertama.

Sepanjang 1990-an, sepanjang dekad 2000, bermula kebangkitan “Arab spring” dan terbaru kini selepas kerajaan diiktiraf dijatuhkan Houthi dan penguasa selatan semakin berkuasa, sentimen kemerdekaan selatan sentiasa kukuh.

Sejak 2014, sentimen ini semakin kuat, dan bendera Yaman Selatan semakin banyak berkibar di Aden dan seluruh wilayah selatan.

Kerajaan yang dibuang dari Sanaa pula terus lemah, dan lebih banyak berada di Arab Saudi berbanding ibu negara sementara Aden, yang hakikatnya ialah pusat kuasa kumpulan selatan.

Hasil rundingan demi rundingan sejak beberapa tahun lalu, pihak selatan semakin terlibat dalam pentadbiran yang berpusat di Aden.

STC kini juga menuntut dilibatkan lebib banyak dalam rundingan yang bertujuan menamatkan konflik dalaman di Yaman, sesuai dengan kedudukannya yang semakin diiktiraf sebagai pihak berkuasa di selatan, yang setaraf malah boleh mengatasi kuasa kerajaan diiktiraf.

Houthi sudah meluaskan kuasa di Sanaa, dan sama ada berjaya atau tidak merampas Marib, ia secara pasti terus mengukuhkan kedudukan.

Kerajaan pimpinan Presiden Abdrabouh Mansour Hadi terus terumbang-ambing, pada masa Gerakan Selatan semakin berpengaruh, pada masa sentimen kemerdekaan Yaman Selatan terus menonjol.

Keupayaan untuk benar-benar merdeka, dan mewujudkan sebuah negara Yaman Selatan mungkin masih sukar, tetapi realiti di Aden dan seluruh wilayah selatan sudah menyaksikan kewujudan satu kuasa yang kuat dan stabil di selatan.

Leave a comment