Yaman Selatan makin hampir jadi realiti?

WhatsApp Image 2023-05-11 at 00.59.49

Yaman sebagai sebuah negara republik telah terancam kesatuannya sejak hujung dekad 2000, terutama bermula 2009.

Kerajaan pusat di Sanaa pada masa itu berdepan cabaran Houthi di utara yang bersikap menentang kerajaan dengan bersenjata.

Bermula tempoh itu, gerakan pemisahan Selatan semakin kuat dan lantang, hinggalah berlaku kebangkitan digelar “Arab spring” bermula 2011.

Bermula tahun itu, gerakan Selatan semakin jelas hala tujunya, kerana “Yaman Utara” yang semakin lemah dan tidak stabil.

Aspirasi Selatan ini dibantu juga oleh kejayaan Houthi menawan Sanaa pada 2014.

Kerajaan yang pada masa itu dipimpin Presiden Abdrabouh Mansour Hadi berpindah ke Aden sebagai pusat pentadbiran sementara, dan presiden melarikan diri ke Arab Saudi.

Perang bermula 2015 memburukkan lagi keutuhan kerajaan pusat, yang hanya wujud pada nama di Yaman dan Aden.

Pihak yang berkuasa di Aden, Majlis Peralihan Selatan (STC) mengukuhkan kedudukan, hingga akhirnya diiktiraf sebagai sebahagian entiti politik berkuasa di Yaman selain kerajaan yang diiktiraf.

Keadaan berubah dengan drastik pada 2022 apabila seluruh kepimpinan Yaman bermula dengan presiden melepaskan jawatan, dan diganti dengan Majlis Kepimpinan Presiden dengan lapan anggota, diketuai Rashad al-Alimi.

Dari satu sudut, pembahagian kuasa ini dilihat mampu menstabilkan Yaman, kerana semua kumpulan utama mendapat bahagian masing-masing dalam kepimpinan negara.

Walau bagaimanapun, ini juga mewujudkan keadaan tanpa satu pemimpin utama, dengan semua anggota majlis mempunyai kuasa dan pengaruh masing-masing.

Hal ini tidak berlaku di selatan, walaupun STC sejak penubuhannya masih dianggap tidak mewakili semua pihak di selatan.

Presiden Aidrous al-Zubaidi memimpin STC yang kini sudah berperanan sebagai kerajaan di selatan.

Mengambil kesempatan daripada proses perdamaian yang kini sedang berjalan, kumpulan-kumpulan Selatan mengambil satu tindakan mengukuhkan penyatuan politik sebelah selatan.

Pada 8 Mei lalu, hasil dialog Selatan yang diadakan di Aden, majlis itu disusun semula, dengan mewujudkan beberapa badan utama, termasuk pemimpin tertinggi eksekutif dan majlis penasihat.

Ini bermakna STC semakin inklusif dan memberikan pihak-pihak lain kedudukan dan peranan lebih besar dalam majlis yang sudah pun diiktiraf sebagai pihak berkuasa di selatan.

Dialog itu juga menyaksikan semua pihak terlibat menandatangani Piagam Nasional Selatan, sebagai dokumen pemandu ke arah penyatuan politik di sana.

Al-Zubaidi kekal sebagai presiden tetapi melantik tiga tokoh berpengaruh sebagai naib, selain 23 anggota penasihat presiden.

Tiga tokoh utama di selatan dilantik sebagai naib pengerusi STC; Abdulrahman al-Mahrami, Faraj al-Bahsani, dan Ahmed Saeed bin Buraik.

Dalam pertemuan bersejarah itu juga, Majlis Pergerakan Selatan, Majlis Pergerakan Revolusi dikenali sebagai Hirak, mengumumkan penyatuan dengan STC.

Pada masa keadaan di utara menunjukkan penguasaan Houthi di Sanaa dan kumpulan lain makin terpinggir, perkembangan di selatan ini menunjukkan satu hala tuju yang jelas ke arah sebuah “Yaman Selatan” yang merdeka.

Leave a comment