Yaman, Kuasa Terpendam Bola Sepak Arab

WhatsApp Image 2023-02-13 at 5.35.11 AM

Sukan mempunyai satu kuasa untuk menyatukan; membuat orang ramai melupakan perbezaan politik, dan juga mendorong rasa penyatuan sebagai sebuah negara dan bangsa yang penuh perbezaan dan kepelbagaian.

Ini dapat disaksikan di Yaman beberapa tahun kebelakangan ini, satu tempoh yang boleh dikatakan menunjukkan satu kebangkitan senyap Yaman sebagai sebuah negara bola sepak Arab.

Dalam Piala Dunia Qatar tahun lalu, Yaman bukan salah sebuah negara bertanding. Walau bagaimanapun, perasaan turut serta dapat dilihat di seluruh Yaman, yang kebetulan mengalami tempoh aman sejak Ramadan tahun lalu.

Warga Yaman bergembira dengan kejayaan Arab Saudi menewaskan Argentina – juara Piala Dunia tahun ini – pada pusingan awal.

Arab Saudi ialah negara yang mengetuai kempen perang gabungan negara Arab di Yaman, yang bermula pada 2015.

Yaman juga bergembira dengan kemenangan negara-negara Arab lain, menunjukkan rasa kebersamaan dan berkongsi kebanggaan sebagai bangsa Arab.

Yaman ialah sebuah negara bola sepak yang meriah sepanjang tahun-tahun memerangi penjajahan British, dan bermula 1980-an.

Dalam kedudukan Fifa, Yaman kini berada di tangga 154, dan pernah mencapai kedudukan tertinggi 90 pada 1993.

Yaman bersatu sebagai sebuah pasukan bermula penyatuan pada tahun 1990.

Boleh dikatakan, keadaan bola sepak Yaman terhalang daripada terus maju dan meningkat akibat pelbagai masalah dialami, yang terbaru perang dan kemusnahan negara.

Pada masa sama, perpecahan antara kawasan tradisional Utara dengan Selatan, menyumbang kepada sentimen berbeza.

Dua tahun lepas, Yaman mencapai satu kejayaan besar apabila pasukan bawah 15 tahunnya menjadi juara kejohanan Asia Barat di Arab Saudi, diadakan pada Disember, 2021.

Pasukan cemerlang Yaman ini menewaskan tuan rumah 4-3 melalui sepakan penalti.

Kejayaan itu membawa satu berita gembira buat Yaman, yang pada masa itu sedang melalui antara fasa paling sukar sejak perang bermula.

Jurulatih pasukan junior Yaman itu ialah bekas pemain bola sepak Yaman sendiri.

Qais Mohammed Saleh bermain selama lebih 20 tahun untuk kelab paling lama di Semenanjung Arab, al-Tilal di Aden.

Yaman pada masa itu masih menyaksikan konflik, pada masa sama baru melepasi pandemik Covid 19.

Seorang wartawan sukan Yaman, Salah al-Amari dilaporkan berkata oleh Arab News, “Warga Yaman hari ini melupakan perbezaan mereka dan meraikan kejayaan. Mereka menembak bukan untuk membunuh, tetapi untuk meraikan satu kejayaan.”

Melepaskan tembakan ke udara ialah salah satu cara meraikan kejayaan dan menunjukkan kegembiraan di sesetengah tempat di dunia Arab.

Kegiatan sukan bukan salah satu perkara yang dianggap kritikal, terutama bagi sebuah negara dilanda perang dan masih memerlukan berbilion dolar untuk membina semula segala infrastruktur.

Walau bagaimanapun, sukan popular seperti bola sepak mempunyai peranan penting dalam sebuah negara, daripada medan penyatuan rakyat hingga kepada satu ruang memupuk semangat patriotisme sebagai sebuah negara.

Bagi Yaman, di tengah-tengah segala krisis yang melanda, satu ruang untuk aktiviti dan sentimen yang positif ini amat diperlukan.

Leave a comment