Isu perhatian media yang menjadi tumpuan pemerhati dan mereka yang terlibat dengan Yaman akhirnya bertemu penutupnya pada 2022 ini, apabila tercetus perang di Ukraine.
Yaman, yang digelar perang yang dilupakan, semakin dilupakan apabila konflik berlaku pula di Ukraine, negara yang dekat hubungan dengan Barat.
Di Yaman, sepanjang 2020 hingga memasuki 2022, kesengsaraan meningkat di banyak tempat, terutama Marib yang dilanda pertempuran baharu.
Isu kekurangan makanan, bencana alam, Covid-19, dan pelbagai bencana lain akibat perang yang mencetus krisis kemanusiaan menjadi topik utama di Yaman sepanjang lebih dua tahun lalu.
Pihak yang terlibat termasuklah Amerika Syarikat dan rakan-rakannya di Asia Barat seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.
Sudah terang dan nyata isu pertanggungjawaban dan kemanusiaan dalam perang yang bermula sejak 2015 ini.
Walau bagaimanapun semua berlalu tanpa solidariti, kenyataan sokongan atau boikot selain daripada kelompok kecil umat Islam.
Dalam media Barat, antara hal utama dirujuk bila disebut Yaman ialah terorisme, kebuluran, perang saudara, dan perang proksi.
Nada wacananya meletakkan Yaman sebagai pihak yang sekadar tertakluk kepada permainan kuasa pihak lain, dan seolah-olah mempersalahkan Yaman atas bencana dihadapi.
Perspektif rakyat Yaman, termasuk Houthi yang masih mewakili satu segmen besar masyarakat Yaman diabaikan.
Namun apabila timbul isu Ukraine, segala bentuk solidariti dan kenyataan keras terhadap Rusia muncul berleluasa.
Kutukan paling keras dilemparkan pada Rusia, dan simpati paling hebat dihulurkan pada rakyat Ukraine.
Pihak yang terlibat dengan Rusia, termasuk dalam perniagaan dan berhubungan baik dengan kerajaannya dikutuk teruk.
Perspektif rakyat Ukraine segera diangkat, dan dipersembahkan semata-mata sebagai pihak yang dizalimi, tidak seperti rakyat Yaman yang biasa diletakkan sebagai berperang sesama sendiri.
Pandangan yang muncul di Barat berbentuk hitam-putih; pihak Ukraine baik sepenuhnya dan Rusia jahat sepenuhnya, dan semua didesak supaya segera mengambil sikap menyokong Ukraine dan memusuhi Rusia tanpa batasan.
Kenyataan-kenyataan dari mulut wartawan di Barat sendiri mendedahkan sikap mereka yang berpendirian tidak sepatutnya orang kulit putih seperti warga Ukraine dilanda perang dan terpaksa menjadi pelarian.
Menjadi pelarian, dengan meninggalkan kediaman, membawa beg sekadar yang dapat, dan terpaksa menumpang dan hidup dalam serba kekurangan dirasakan bukan sesuatu yang wajar berlaku kepada orang kulit putih, tidak seperti kaum lain seperti orang Arab dan Afrika.
Inilah pandangan sebenar Barat yang secara sedar tidak sedar dipegang oleh sejumlah besar mereka, dan terdedah apabila tercetus perang di Ukraine.
Tiba-tiba, simpati dan solidariti menjadi wajib, sedangkan kekejaman di Yaman, Iraq, Palestin dan banyak tempat lain berdepan penderitaan lebih dahsyat dan berpanjangan berbanding apa yang baru berlaku di Ukraine.
Pihak Barat cukup sedar dan cepat bertindak dengan bersepadu bila melibatkan kepentingan mereka, tanpa peduli dengan nasib lebih buruk dihadapi oleh orang lain.
Maka, jelas di sini bahawa kuasa media, kesedaran dan tindakan bersepadu dan konsisten perlu dilaksanakan melibatkan Yaman dan konflik-konflik lain di dunia Islam.
Isu umat Islam tidak boleh dibiarkan hanya ditangani secara bermusim, dan tanpa tindakan bersatu hati yang konsisten.