Yaman Dan Krisis Iklim Global

Dunia Arab biasa dikaitkan dengan padang pasir dan cuaca panas sejak dulu, dan gambaran ini bukan sesuatu yang salah.

Cuaca panas dan keadaan kering memang ciri utama dunia Arab, yang jarang hujan dan di Semenanjung Arab, tidak ada sungai besar dan mengalir sepanjang masa secara tetap.

Sekarang ini ialah permulaan musim sejuk di Asia Barat, termasuk Yaman yang keadaan cuacanya biasa panas.

Pada sebahagian besar masa Yaman berdepan kekurangan air dan cuaca panas, tetapi pada masa ini, pada hujung tahun, cuaca sejuk sedang melanda.

Musim sejuk ini, yang boleh mencecah 0° celcius mendatangkan cabaran dan ancaman yang besar kepada pelarian, yang sebahagian besarnya berada di Marib.

Realiti inilah yang mendorong kumpulan-kumpulan bantuan memulakan kempen bantuan musim sejuk, untuk menyediakan perlindungan daripada cuaca sejuk termasuk selimut tebal dan pakaian yang sesuai.

Keadaan amat mencabar di kem-kem pelarian yang tersusun akibat cuaca sejuk, dan keadaan ini bertambah mencabar malah mengancam nyawa bagi mereka yang berada di kawasan yang jauh daripada kawasan berpenduduk dan mempunyai akses bantuan.

Ramai yang tinggal di khemah dibina sendiri dengan tidak sempurna dan tidak cukup untuk menahan daripada cuaca sejuk.

Di Marib, populasi sekitar 30,000 bertambah hingga mencapai ratus ribu ekoran kemasukan pelarian.

Di seluruh Marib, dianggarkan seramai 2.2 juta orang pelarian berada di sini, dan semuanya kini terdedah kepada cuaca sejuk.

Sejak pertempuran sengit sejak beberapa bulan lalu, lebih 45,000 orang kini ketiadaan tempat tinggal yang sempurna, mendedahkan lagi mereka pada cuaca sejuk.

Purata suhu pada musim sejuk ialah 15° celcius. Rekod suhu terkini paling sejuk dicatatkan di Sanaa pada Disember 2018, mencatatkan 0° celcius.

Keadaan yang mencabar masa kini akan diburukkan lagi oleh cuaca ekstrem musim sejuk ini.

Keadaan ini menjelaskan cabaran dihadapi Yaman, yang berdepan perang sejak 2015, dan pelbagai bentuk konflik lebih lama sebelum itu.

Apa yang dihadapi Yaman ini ialah pertemuan arus-arus deras konflik politik pada masa cabaran krisis iklim semakin buruk.

Tahun 2015, permulaan perang di Yaman yang diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu ialah satu titik penting permulaan kesan krisis iklim di Yaman.

Tahun 2015 ini boleh disifatkan sebagai tahun permulaan insiden krisis iklim yang buruk melanda Yaman.

Bermula tahun itu, suhu purata dunia meningkat setiap tahun hingga 2020, dengan setiap tahun merekodkan suhu tertinggi mengatasi suhu tahun sebelumnya.

Cuaca panas di Yaman juga diiringi oleh bekalan air yang semakin kritikal, memberi kesan kepada manusia dan juga kegiatan pertanian.

Bermula 2015 juga menyaksikan Yaman berdepan pelbagai kejadian yang menjejaskan pertanian seperti serangan belalang juta.

Tahun ini dan tahun sebelumnya menyaksikan insiden serangan belalang juta yang dahsyat, yang antara faktornya ialah perubahan cuaca akibat krisis iklim.

Beberapa tahun kebelakangan ini juga menyaksikan insiden banjir kilat yang semakin kerap dan semakin dahsyat kemusnahan yang dibawa.

Bandar-bandar utama Yaman termasuk Sanaa dan Aden sudah beberapa kali dilanda banjir kilat yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan menjejaskan aktiviti ekonomi harian.

Tahun 2015 juga kejadian taufan yang dahsyat melanda Yaman, terutama Kepulauan Socotra.

Selepas itu, pada 2018, dan kemudian 2020, Yaman turut menghadapi bencana ribut taufan, pada masa sama perang berlanjutan dan mencetuskan krisis kemanusiaan.

Keadaan bertambah buruk apabila pandemik Covid 19 bermula pada awal tahun 2020.

Semua ini menunjukkan satu krisis yang amat besar, tetapi sebahagian besarnya tenggelam daripada perhatian dunia dan umat Islam sendiri.

Leave a comment