Negara haram Israel terus melakukan kekejaman ke atas penduduk Palestin khususnya Gaza, termasuk yang terbaru mengugut penduduk utara Gaza supaya lari keluar dari kawasan itu.
Media antarabangsa umumnya meletakkan serangan mengejut oleh pejuang Palestin sebagai pencetus.
Ini sebenarnya ialah sekadar kelangsungan kepalsuan yang menafikan pihak Palestin yang menjadi mangsa penjajahan dan kezaliman sejak penubuhan negara haram Israel pada 1948.
Kepalsuan dan penipuan besar dalam hal ini ialah setiap tindak balas Palestin dijadikan alasan Zionis melakukan serangan dengan menyifatkannya sebagai membalas serangan.
Hakikatnya, serangan pertama dilakukan oleh Zionis pada 1948. Perang ini sudah berlangsung selama 70 tahun, dan bukan bermula dengan serangan minggu lalu.
Penentangan terhadap Zionis bermula sejak itu, dan gambaran salah seperti “Israel mengebom Gaza ekoran serangan kumpulan dari Palestin” meneruskan naratif menyeleweng yang menafikan sejarah panjang ini.
Sepanjang masa, malah dalam beberapa minggu sebelum peristiwa serangan pejuang Palestin, berlaku pembunuhan warga Palestin, di al-Aqsa, di Tebing Barat dan Gaza.
Kekejaman terhadap Palestin berlaku berterusan, dan tidak sepatutnya titik mula peristiwa diletakkan sebagai serangan mengejut ke atas Zionis pada minggu lalu.
Mengenai Yaman, negara ini terlibat dengan negara Arab yang sudah menandatangani perjanjian normalisasi Abraham Accords, yakni Emiriyah Arab Bersatu, dan Arab Saudi yang sedang merundingkan normalisasi dengan negara haram Israel.
Operasi ketenteraan di Yaman lebih lapan tahun lalu pada 2015 didorong kuat oleh Israel, melalui pemimpin negara haram itu, Benjamin Netanyahu yang hadir berucap di Kongres Amerika Syarikat.
Pada masa itu, Arab Saudi mengetuai tindakan memasuki Yaman, dengan satu alasan utama memerangi dan mengekang perluasan pengaruh Iran.
Yaman menunjukkan sejarah konsisten bersikap menolak Israel, dan berkait kerajaan Houthi di Sanaa, hubungan dengan Iran menjadi faktor penting dalam penolakan ini.
Malah, rakyat Yaman secara umumnya menolak Zionis dan sebarang hubungan dengan negara haram Israel.
Baru-baru ini, Yaman menyaksikan satu daripada perhimpunan protes besar-besaran terhadap kekejaman Yahudi Zionis di Palestin.
Himpunan di Yaman ialah yang terawal dan terbesar disaksikan di seluruh dunia Arab.
Ini ialah satu kelangsungan sikap konsisten Yaman yang sentiasa menunjukkan sokongan dan solidariti dengan umat Islam Palestin.
Dalam keadaan serba kekurangan dan berdepan pelbagai krisis akibat perang, Yaman sentiasa ke depan dalam menunjukkan keprihatinan terhadap isu umat Islam Palestin.
Pemimpin di Sanaa juga telah bersuara menyatakan kesediaan untuk memulakan tindakan ketenteraan termasuk menembak peluru berpandu ke arah Israel sekiranya keganasan diperluaskan oleh pihak Zionis.
Sikap ditunjukkan ini meletakkan Yaman sebagai satu entiti penting dalam politij serantau di dunia Arab, dan khusus dalam isu umat Islam di Palestin.