Yaman kini jadi perhatian banyak pihak selepas Arab Saudi dan Iran mencapai persetujuan untuk normalisasi hubungan diplomatik.
Negara ini hakikatnya berada di tengah-tengah satu perkembangan dunia yang sedang pantas berubah melibatkan pembahagian kuasa serantau dan global.
Semua negara sekitar, dari jirannya Arab Saudi, Oman, dan negara serantau Emiriyah Arab Bersatu, mempunyai kuasa dan pengaruh masing-masing.
Negara-negara ini mempunyai kepentingan besar melibatkan Yaman, maka hal berkaitan Yaman sentiasa berada dalam agenda utama mereka.
Kepentingan mereka akhirnya mendorong tindakan yang semakin bebas, tanpa tertakluk kepada pengaruh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Pada masa yang sama dasar dan tindakan mereka lebih bebas daripada AS, mereka juga lebih bebas mengendalikan hubungan luar dengan kuasa lain seperti China dan Rusia.
Berikut empat negara yang terlibat di Yaman, yang menyaksikan pelaksanaan dasar luar dan perubahan kuasa mereka memberi kesan dan pada masa sama terkesan oleh perkembangan di Yaman.
1. Arab Saudi
Tindakan Riyadh memulakan operasi tentera di Yaman pada 2015 memberi dua petunjuk; pertama hubungan rapatnya dengan Washington.
Pada masa sama juga kebebasan untuk bertindak sendiri tanpa kebenaran malah bertentangan dengan kehendak AS sendiri.
Yaman pada 2015 ialah salah satu permulaan tindakan Saudi yang mengutamakan kepentingan politiknya hingga bersedia bertindak lebih bebas.
Terbaru, sebahagiannya akibat kesan politik perang Yaman, Saudi berdamai dengan Iran, melalui perantara China dan bukan AS.
2. Iran
Keputusan Iran untuk berdamai dengan Arab Saudi, seperti juga Saudi, didorong sebahagiannya oleh perang Yaman.
Walaupun kepentingan Iran di Yaman tidak seperti besarnya kepentingan Saudi, Iran boleh lepas daripada tekanan kuat berkaitan hubungannya dengan Houthi.
Tanpa isu Yaman yang menekan, Iran boleh lepas daripada satu beban besar dalam hubungan luarnya.
Yaman telah meningkatkan kedudukan Iran dalam aturan kuasa serantau. Perdamaian dengan Saudi berpotensi untuk mengukuhkannya.
3. Emiriyah Arab Bersatu
Emiriyah ialah negara yang bertindak paling strategik dalam penglibatannya di Yaman.
Ia mencapai matlamat-matlamat pengukuhan agenda geopolitik dan perdagangan, yang Yaman menjadi titik pentingnya.
Pencapaiannya di Yaman menjelaskan segalanya tentang peningkatan dan pengukuhan kuasa Abu Dhabi, di rantau Asia Barat hingga Afrika, dan di peringkat antarabangsa.
Kepentingan yang dipelihara di Yaman pula tidak semestinya selari dengan Saudi dan AS.
4. Oman
Walaupun jarang disebut namanya, jiran Yaman di sebelah timur ini sebenarnya sebuah lagi negara yang penting dalam mencari penyelesaian konflik di sana.
Oman terkesan oleh perang melalui sempadan baratnya, walaupun kesannya tidak seburuk hingga menjejaskannya.
Oman ialah sebuah kuasa kecil diplomasi. Perdamaian Saudi-Iran di Beijing disempurnakan hasil usaha pemerintah Yaman yang mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua Riyadh dan Tehran.