Yaman Cekal Hasilkan Madu Terbaik Di Tengah Peperangan

Bandar Ataq di wilayah Shabwah, tidak terkecuali daripada perang di Yaman, tetapi bandar ini menjadi saksi satu industri yang terus cekal mengharungi waktu sukar di sini.

Industri madu, yang menghasilkan madu terkenal kualiti tertinggi Sidr, mempopularkan nama Yaman dalam kalangan pemburu dan peminat madu seluruh dunia.

Di pasar madu Ataq, puluhan penjual madu berkumpul untuk memasarkan barangan mereka, di tengah-tengah suasana perang di Yaman.

Menurut seorang pedagang madu, mengangkut madu memudahkan mereka melepasi sekatan pihak bersenjata.

Katanya, sarang lebah yang dibawa dan mudah kelihatan memudahkan mereka dikenali sebagai penjual madu, dan tidak banyak berdepan soal jawab.

Walau bagaimanapun, perang tetap mengancam pengusaha madu dan industri ini, akibat kesan langsung perang termasuk periuk api dan kesan lain seperti kekurangan bekalan minyak untuk kenderaan mengangkut madu untuk dijual.

Menurut satu anggaran, 100,000 penternak lebah kecil-kecilan seluruh Yaman menghasilkan 1,580 tan madu setiap tahun.

Daripada jumlah ini, 840 tan dieksport, menurut satu laporan PBB tahun 2020.

Kerajaan mengenal pasti sektor penternakan lebah dan perdagangan madu sebagai satu industri utama yang boleh merancakkan ekonomi Yaman.

Selama ini, madu Yaman sudah dikenali dan jenis Sidr memang popular dalam kalangan peminat madu.

Madu Sidr boleh mencapai harga AS$500 sekilogram di negara-negara Arab Teluk termasuk Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.

Madu jenis ini walau bagaimanapun terhad bekalannya. Sidr hanya boleh dikutip sekali setiap 12 bulan, tidak seperti madu dari sumber bunga seperti acacia dan bunga padang pasir yang boleh dipungut sepanjang tahun.

Leave a comment