Yaman Berjaga-jaga Gelombang Ketiga Covid-19

Kerajaan Yaman di Aden telah meletakkan pekerja kesihatan dalam keadaan berjaga-jaga dan mengarahkan orang ramai mematuhi sekatan Covid-19, pada masa negara itu berdepan gelombang ketiga wabak ini.

Menurut Ishraq al-Subaee, ahli Jawatankuasa Coronavirus Kebangsaan di Aden, kakitangan kesihatan Yaman kini bersedia di lapangan.

Menurutnya lagi, kerajaan sedang berusaha meningkatkan bekalan oksigen serta melaksanakan lebih langkah kesihatan bagi menghadapi kesan wabak.

Langkah kerajaan ini menyusul peningkatan kes di kawasan di bawah penguasaan kerajaan.

Kerajaan turut menggesa rakyat berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Jawatankuasa coronavirus kerajaan Yaman baru-baru ini mencatatkan 10 jangkitan baharu di lima wilayah, membawa jumlah jangkitan kepada 7,022.

Kematian yang dicatatkan ialah 1,374, manakala 4,168 pulih.

Yaman sebelum ini menerima vaksin AstraZaneca di bawah skim vaksin Covid-19 antarabangsa (Covax).

Kedudukan Yaman sebagai sebuah negara membangun dan ditambah dengan keadaan krisis membolehkannya menerima bantuan vaksin.

Walau bagaimanapun, negara itu kini berdepan masalah kekurangan vaksin, dan kini menungga bekalan tambahan.

Ogos ini, Yaman dijangka menerima ribuan vaksin AstraZaneca dan Johnson & Johnson, juga sebahagian daripada skim Covax antarabangsa.

Bekalan terbaru ini akan menjadi sebahagian vaksinasi umum, dengan keutamaan kepada mereka yang belum menerima dos pertama.

Yaman menghadapi kesukaran untuk merangka pelan menghadapi Covid ekoran ketidakmampuan menjangka peningkatan atau penurunan kes kerana majoriti rakyat, sebanyak dua pertiga, tinggal di kawasan bawah kawalan Houthi, yang tidak memberikan maklumat tentang keadaan pandemik.

Kesan perang berpanjangan terutama infrastruktur kesihatan yang lemah dan keadaan penjagaan kesihatan yang rendah termasuk akibat kekurangan bekalan air bersih menambahkan kesan buruk wabak ini kepada Yaman.

Leave a comment