Tidak lama selepas Arab Saudi dan Iran mencapai persetujuan memulakan semula hubungan diplomatik, Amerika Syarikat memberi gambaran sedia bekerjasama dengan Iran di Yaman.
Wakil khas AS ke Yaman, Timothy Lenderking pada Selasa lalu berkata Iran wajar menyokong proses damai di Yaman, dalam satu kenyataan dibuat di sebuah badan pemikir di Washington.
Kata wakil AS itu, satu proses rundingan penyelesaian konflik di Yaman mungkin akan dimulakan tidak lama lagi, tanpa menyebut masa yang spesifik.
Lenderking menunjukkan sikap positif terhadap Iran dalam kenyataannya itu, selepas keadaan kekal aman selepas gencatan senjata tamat dan hanya diteruskan secara tidak formal oleh semua.
Kata Lenderking lagi, apabila berlaku proses rundingan untuk menyelesaikan kebuntuan di Yaman, semua pihak perlu menyumbang dan berkompromi.
Wakil PBB ke Yaman pula berkata ulangtahun gencatan senjata ini merupakan satu saat keemasan untuk peluang mencapai kedamaian.
Kenyataan terbaru ini ialah satu tanda positif berhubung keamanan di Yaman, menyusuli persetujuan Riyadh dan Iran memulakan semula hubungan diplomatik.
Saudi dan rakan-rakan serantau memulakan operasi ketenteraan di Yaman pada 2015, dengan alasan mengekang pengaruh Iran yang meningkat di Asia Barat.
Saudi juga menyokong kerajaan pimpinan Abdrabouh Mansour Hadi yang disingkir pada hujung 2014 oleh Houthi yang mempunyai hubungan baik dengan Iran.
Riyadh walau bagaimanapun berdepan kesan negatif dari segi politik berkait kesan perang di Yaman, dan keadaan makin sukar baginya selepas perang berlanjutan.
Iran meningkatkan sokongan kepada Houthi selepas kumpulan ini berjaya menubuhkan kerajaan di Sanaa bermula 2014.
Saudi masih berpengaruh terutama dalam kalangan kerajaan asal Yaman dan kumpulan-kumpulan seperti Islah dan kabilah-kabilah utama.
Perkembangan terbaru ini memberi gambaran satu haluan positif ke arah perdamaian melalui rundingan di Yaman, selepas lapan tahun perang hingga mencetuskan krisis kemanusiaan yang buruk.
Walau bagaimanapun, keputusan akhir masih bergantung pada kumpulan-kumpulan tempatan, yang mempunyai kepentingan yang pelbagai dan bertentangan.
Kuasa tempatan, terutama Houthi dan kuasa di selatan tidak semestinya mengikut tuntutan kuasa serantau dan kuasa luar yang menyokong mereka, termasuk AS.