Pakatan tentera diketuai Arab Saudi baru mengumumkan gencatan senjata untuk bulan Ramadan ini, sempena rundingan pusingan baharu melibatkan kumpulan-kumpulan di Yaman.
Wakil khas Amerika Syarikat, Tim Lenderking juga memulakan lawatan-lawatan ke negara-negara Teluk dalam usaha menjayakan rundingan ini.
Selain Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu ialah pihak paling berkepentingan di Yaman, menyokong kuat kumpulan Majlis Peralihan Selatan.
Pihak Houthi walau bagaimanapun dilapor enggan hadir dalam rundingan ini, dan menuntut langkah lebih menyeluruh daripada pakatan diketuai Saudi, iaitu menghentikan terus operasi ketenteraan, yang sudah melepasi tempoh tujuh tahun.
Houthi masih menumpukan pada operasi ketenteraan di Marib, yang mahu dikuasainya untuk mengukuhkan lagi kedudukan di Yaman, sekaligus melemahkan terus pihak kerajaan yang dijatuhkan.
Rundingan di Saudi ini boleh dilihat sebagai lebih melibatkan kepentingan Riyadh, Abu Dhabi, dan kumpulan yang selari dengan dua kuasa serantau ini.
Rundingan ini juga satu usaha ke arah pengukuhan kerjasama anti-Houthi dan anti-Iran.
Pakatan anti-Iran ini semakin mengukuh kebelakangan ini. Minggu ini, empat negara Arab menghadiri sidang kemuncak di Israel, yang satu kenyataan hasil pertemuan ialah kerjasama lebih rapat untuk menangani Iran.
Empat negara Arab tersebut, Baharin, Emiriyah, Maghribi, dan Mesir kini mempunyai hubungan baik dengan Israel.
Bahrain dan Emiriyah menormalisasi hubungan dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham pada 2020 yang dibroker oleh presiden Amerika Syarikat pada masa itu, Donald Trump.
Maghribi kemudian memulihkan semula hubungan dengan Israel, sebagai sebahagian gelombang normalisasi serantau.
Selain dua negara tersebut dan Maghribi, Sudan turut mencapai perjanjian damai sekaligus mengiktiraf Israel pada penghujung 2020 di bawah kerajaan baharu yang mesra Emiriyah.
Houthi merasakan yang ia tidak akan dapat memperolehi apa yang dikehendaki, ditambah pula dengan Marib yang direbut dan sukar dikompromi.
Pihak Houthi juga kebelakangan ini meningkatkan serangan ke atas wilayah Saudi dan Emiriyah, menambahkan ketegangan di rantau Teluk Parsi.
Serangan Houthi ke atas Saudi dan Emiriyah pula mendorong Washington mula memberi perhatian serius pada keselamatan Saudi dan Emiriyah, atas alasan menangani ancaman Iran.
Pada masa yang sama, rundingan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear dengan Iran (JCPOA) sedang berlangsung, menyebabkan negara Arab Teluk dan Israel bimbang perjanjian akan membolehkan Iran keluar dari dipinggirkan.
Rundingan di Arab Saudi ini tidak dapat dipisahkan terus dengan sidang kemuncak Arab-Israel baru-baru ini, yang mensasarkan Iran.
Gencatan senjata yang diumumkan ini boleh disambut sebagai satu petanda positif, tetapi memandangkan perkembangan berkaitan melibatkan Houthi dan Iran, pelbagai kemungkinan lain boleh berlaku.