Perebutan kuasa di Yaman masih berlangsung dengan pertempuran merebut Marib, wilayah dan bandar strategik di tengah negara ini.
Tetapi, umumnya, pembahagian kuasa di Yaman boleh dikatakan hampir sempurna, walaupun kuasa-kuasa serantau masih kelihatan tidak senang duduk.
Houthi yang disokong Iran sudah berjaya menguasai Sanaa dan pantai barat di Laut Merah.
Houthi tidak dijangka akan meluaskan lagi kuasa melebihi Marib, itupun kalau berjaya ditawan.
Bagi Iran yang menyokong Houthi, ini adalah satu kejayaan besar, mendapatkan sekutu di kawasan strategik Semenanjung Arab berjiran Arab Saudi.
Kegunaan segeranya mungkin belum muncul, tapi akses Iran kepada kawasan penting ini melalui Yaman kini menjadikannya habuan pentingnya yang perlu terus dijaga dan dipertahankan.
Iran mendapat kelebihan ini dengan kos yang agak rendah, dan dalam satu tempoh yang lama, pengaruh Iran di sana diperbesarkan.
Kini Iran sudah boleh menambah satu lagi lokasi penting untuk memenuhi keperluannya sebagai sebuah kuasa serantau yang bercita-cita besar.
Arab Saudi boleh dikatakan pihak yang paling rugi, tetapi ia masih mempunyai sekutu yang patuh di Yaman, dan pelaburannya sejak era Perang Dingin sudah mengukuhkan kumpulan-kumpulan pro-Saudi dan kehadiran fahaman Salafi di sana.
Riyadh sudah dianggap oleh kuasa-kuasa Barat sebagai negara yang bertanggungjawab ke atas Yaman, dan suara Saudi berkaitan Yaman juga didengari.
Seperti yang disaksikan menjelang kemasukan tentera diketuai Saudi ke Yaman, Riyadh mendapat sokongan Israel dan agendanya mengimbangi pengaruh Iran masih diperlukan Barat.
Walaupun dengan kehadiran Iran dan Emiriyah Arab Bersatu, Saudi kekal mempunyai pengaruh di Yaman dan berkongsi sempadan darat yang panjang.
Riyadh menyokong dua presiden Yaman, Abdrabouh Mansur Hadi dan pemimpin sebelumnya sejak penyatuan, Ali Abdullah Saleh, dan kedua-duanya mampu menjaga kepentingan Saudi.
Saudi mempunyai kelebihan untuk bertindak segera di Yaman atas kelebihan geografinya dan juga kaitan aliran agama dan masyarakat.
Emiriyah Arab Bersatu, walaupun kemasukannya masih dikira baru, ia memanfaatkan elemen lama dan kukuh dalam sejarah Yaman.
Abu Dhabi mengukuhkan kedudukan di sebelah selatan, malah mendirikan pengkalan di pulau dekat Bab al-Mandab yang bukan sebahagian wilayah selatan.
Emiriyah menyokong kumpulan pemisah Selatan yang sejarahnya bermula sejak sebelum penyatuan, pada masa Yaman Selatan ialah sebuah republik sosialis.
Pada masa sama, Emiriyah juga memanfaatkan hubungan dengan kelompok agama di Hadramawt, yang mempunyai kaitan kekeluargaan di Emiriyah.
Hubungan kuasa yang paling jelas ialah dengan Majlis Peralihan Selatan (STC), kumpulan paling kuat dalam gabungan pemisah walaupun bukan yang paling mewakili suara Selatan.
Seperti juga Houthi, pemisah Selatan juga terhad di satu kawasan yang khusus, dan boleh dikatakan sudah berpuas hati dengan penguasaan di Aden, walaupun berkongsi dengan kerajaan yang diiktiraf.
Secara teorinya, boleh berlaku pertempuran melibatkan Houthi dengan STC, tetapi nampaknya kedua-dua pihak menyedari had masing-masing, dan kekal menumpukan pada apa yang sudah diperolehi.
Perjanjian damai sebenarnya sudah dicapai, melalui dua perjanjian; di Stockholm dan Riyadh. Dua perjanjian ini walaupun tidak menyeleruh tapi merupakan pencapaian yang besar memandangkan keadaan pelbagai pihak dengan pelbagai kepentingan yang bertentangan.
Yaman terletak di seberang Tanduk Afrika yang kini rancak dengan percaturan geopolitik, terbaru langkah pantas Mesir menjalin pelbagai bentuk hubungan dengan negara dalam usahanya “mengepung” Ethiopia.
Kuasa-kuasa serantau terdiri daripada Emiriyah, Riyadh, Qatar, dan Turki juga sedang rancak memastikan agenda mereka di kawasan strategik ini dapat dipelihara dan diperluaskan.
Yaman, yang kini sudah menyaksikan kehadiran kuasa serantau seperti Emiriyah dan Iran, tidak akan dapat dikecualikan daripada persaingan sengit ini.