Dikira sejak kemasukan pasukan tentera berbilang negara diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu pada 2015, tahun ini genap tujuh tahun perang di Yaman.
Perang ini bukan bermakna permulaan konflik bermula pada 2015, melainkan episod baharu konflik yang menjahanamkan Yaman sejak penyatuan pada 1990.
Perang antara kerajaan dengan Houthi di utara berlaku bermusim dan tidak pernah terhenti sejak sekurang-kurangnya 2009.
Sejak peristiwa serangan 11 September, 2001, Yaman dijadikan satu sasaran dengan alasan lokasi pengkalan al-Qaeda dan kumpulan berkaitan.
Bermula era pemimpin Amerika Syarikat Barack Obama, Yaman, bersama Somalia dan medan Pakistan-Afghanistan, Yaman menjadi salah satu lokasi utama serangan dron, yang turut mengorbankan nyawa orang awam.
Tujuh isu di bawah ini menjelaskan dengan terperinci dan mendasar apa yang berlaku di Yaman, pada masa konflik ini mencapai usia tujuh tahun.
1. Perang yang dilupakan
Tidak ada tindakan signifikan berlaku di Majlis Keselamatan PBB berhubung Yaman, selain resolusi hukuman sekatan ke atas Houthi.
Tidak ada pihak dari kalangan kuasa besar atau serantau yang dikecam atau dihukum atas perang di Yaman, berbanding tindakan segera dalam kes serangan Rusia terhadap Ukraine.
2. Krisis kemanusiaan dunia Islam
Selain krisis lain di dunia Islam, Yaman dilanda krisis kemanusiaan yang dahsyat akibat tempoh perang yang panjang, memusnakan infrastruktur, menghentikan proses pembangunan dan kemajuan
Barat juga lebih melihat Yaman sebagai satu lokasi perang, melibatkan pengganas dan militan, berbanding orang awam yang memerlukan bantuan.
3. Persaingan kuasa dunia
AS, Britain, Rusia (ahli tetap Majlis Keselamatan PBB), Arab Saudi, Emiriyah, Iran (kuasa berpengaruh dunia Islam), semua mempunyai kepentingan di Yaman, dan percaturan mereka lebih mendapat tempat di media sedunia berbanding isu rakyat terbanyak.
Akibat persaingan ini, dunia Islam yang pada masa sama terikat dan berhubungan baik dengan kuasa-kuasa besar tidak mampu bertindak atau bersuara lebih lantang membela Yaman.
4. Persaingan kuasa dunia Islam
Yaman sering dikemukakan sebagai medan perang proksi antara Arab Saudi dengan Iran. Naratif seperti di Syria semasa kebangkitan serantau dipanjangkan di Yaman.
Selain Saudi dengan Iran, Yaman juga menyaksikan bukti kebangkitan dan pengukuhan kuasa Emiriyah, yang sudah bertapak di selatan termasuk di kepulauan Socotra, manakala Iran sudah mendapat rakan berguna di Sanaa.
5. Peta baharu Yaman
Secara politiknya, Yaman sudah terbahagi dua; Yaman dengan ibu negara Sanaa, dan Yaman berpusat di Aden, seperti sebelum penyatuan, cuma kali ini Sanaa dikuasai Houthi.
Keadaan tidak dapat kembali kepada keadaan semasa penyatuan, walaupun secara rasmi masih ada satu negara Yaman. Gerakan Selatan sudah semakin kukuh dan tidak mahu berundur lagi.
6. Medan perang abadi
Boleh dikatakan, Yaman ialah satu lokasi ujian senjata yang utama. Di sinilah dron memulakan peranan aktif dalam medan perang, sebelum semakin banyak digunakan di tempat lain.
AS yang sudah terlibat di Yaman sejak zaman Presiden Ali Abdullah Saleh memang pembekal utama senjata perang di negara ini. Di Yamanlah semua senjata terbaru dapat menyaksikan penggunaan di medan tempur sebenar.
7. Bukti krisis iklim
Yaman menyaksikan penyusutan sunber air sejak perang bermula 2015, yang berlaku sekitar masa bermula krisis iklim semakin buruk di Yaman dan seluruh dunia pada tahun berikutnya.
Kemusnahan ladang dan kawasan penanaman sumber makanan, kekurangan air termasuk air bawah tanah yang semakin kering, dan cuaca yang semakin tidak menentu (kejadian cuaca ekstrem seperti banjir kilat, taufan, kemarau) berlaku seiring dengan perang.