Yaman: 4 cabaran paling besar perlu dihadapi

WhatsApp Image 2023-05-31 at 07.14.55

Keadaan di Yaman sudah menunjukkan tanda positif sejak lebih sebulan lalu apabila rundingan serius berdamai dan peralihan sudah dimulakan.

Pihak berkuasa dalam negara melibatkan Houthi, kumpulan berpengaruh lain, kerajaan di selatan, dan penguasa kabilah semua menunjukkan kesediaan untuk berdamai.

Ini berlaku dalam keadaan dua negara pencetus perang bermula 2015, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu mula memberi tumpuan pada hal dalaman dan kepentingan lain.

Latar paling penting ialah hubungan diplomasi yang pulih antara Arab Saudi dan Iran, yang mempunyai pengaruh terhadap pihak di Yaman.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini juga menunjukkan semua pihak terbabit, terutama Riyadh, Abu Dhabi, dan Tehran mempunyai keutamaan lain, dan Yaman berpotensi terabai dalam hal tertentu.

Persaingan dalaman tetap tidak berubah dengan perdamaian dan peralihan ke arah pentadbiran lebih baik di Yaman.

Aturan kuasa melibatkan Houthi di Sanaa, pemerintah Selatan di Aden dan bekas kerajaan yang ramai masih di Arab Saudi tidak banyak berubah.

Satu yang masih boleh diharapkan ialah konflik besar kini sudah berakhir, dan ini membuka kepada pemulihan dan peningkatan aktiviti seperti ekonomi dan sebagainya.

Beberapa perkara masih memerlukan masa dan banyak tenaga, belum termasuk lagi dana berbilion dolar untuk dipulihkan.

Berikut empat yang kekal menjadi cabaran paling besar untuk dihadapi:

1. Pembinaan semula jati diri negara

Negara Yaman masih lagi bernama Republik Arab Yaman, tetapi ibu negaranya kini dikuasai satu kumpulan minoriti yang rapat dan agak bergantung dengan Iran, sebuah negara yang aliran Islamnya berbeza, dan mempunyai kepentingan politik yang berbeza di Yaman dan dunia Arab.

Di selatan pula, satu semangat baharu sudah mengukuh, dan bekas negara sosialis Yaman Selatan itu kini wujud secara berasingan daripada Sanaa.

2. Pentadbiran sebagai sebuah negara

Secara praktiknya, Yaman kini mempunyai dua buah ibu negara; Sanaa dan Aden. Ia juga berdepan masalah kewujudan dua buah bank pusat yang bersaing.

Houthi walaupun menguasai Sanaa, tidak memegang Marib yang dibawah kuasa bekas kerajaan yang masih mempunyai pengaruh. Houthi pula berkuasa di pantai barat tetapi tidak berkuasa di pelabuhan sebelah pantai selatan.

3. Pembangunan semula infrastruktur

Pembangunan semula prasarana akan memerlukan bantuan asing, daripada negara-negara Arab dan serantau, dan negara-negara maju. Hal ini tidak akan dapat bebas daripada politik kuasa-kuasa asing, termasuk negara-negara kuasa besar.

Usaha ini akan diperhatikan dengan rapat oleh semua pihak, terutama kuasa besar yang bersaing. Satu contoh, kemasukan besar China, misalnya dengan projek infrastruktur pengangkutan berbilion dolar akan mengundang reaksi balas Amerika Syarikat.

4. Kedudukan dalam dunia Islam

Satu masa dulu, pada awal 1990-an, Yaman dihukum oleh Arab Saudi kerana menyebelahi Saddam Hussein dalam Perang Teluk. Pada masa itu, Yaman di bawah pengaruh Saudi dan sukar bertindak bebas.

Hari ini, walaupun lebih bebas dan diwakili pemerintah yang berbeza, perbezaan politik dan aliran dalam dunia Arab dan dunia Islam masih nyata. Pemerintah yang mewakili Yaman masih perlu berhati-hati mengimbangi pengaruh Iran yang memberi sokongan kuat, dan Arab Saudi, negara jiran yang kekal berpengaruh dalam dunia Islam.

Leave a comment