Yaman 2022: Kuasa Asing dan Yaman

IMG-20221227-WA0006

Perang di Yaman, kalau dikira berdasarkan mula operasi diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu sejak 2015, kini sudah mencapai tempoh tujuh tahun.

Tetapi, berdasarkan perang yang meluas di Sanaa dan wilayah padat penduduk di barat, perang sudah bermula sejak 2014.

Malah, perang yang meningkat sengit pada 2014 itu sendiri ialah kesinambungan daripada konflik pusingan terbaru antara kuasa-kuasa dalaman terutama Houthi, sejak 2009.

Satu yang tidak boleh terlepas dalam semua isu melibatkan politik di Yaman ini ialah kuasa-kuasa asing, yang dekat dan yang jauh.

Amerika Syarikat kekal terlibat di Yaman, sejak era Perang Dingin dalam usaha mengelakkan Yaman daripada jatuh ke tangan komunis.

Kemudian, campur tangan terbaru bermula di bawah Presiden Ali Abdullah Saleh dengan alasan memerangi al-Qaeda dan Houthi yang dikaitkan dengan kuasa Iran.

Empat kuasa asing terlibat mendalam di Yaman; Arab Saudi, Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu, dan Iran.

Sejak 2015, pelbagai turun naik di Yaman dialami kuasa-kuasa ini, yang akan terus kekal dan tidak akan berundur dari negara strategik ini.

1. Arab Saudi

Negara jiran di utara Yaman ini melihat Yaman sebagai negara yang patut berada di bawah pengaruhnya. Sepanjang Perang Dingin, Riyadh menyokong kumpulan seperti aliran Salafi untuk mengimbangi pengaruh sosialis.

Kini, selepas perang dimulakannya pada 2015, ia masih berpengaruh, tetapi dengan kos politik dan ekonomi yang besar.

Pengaruh ke atas kumpulan di Yaman seperti Islah dan kabilah-kabilah berpengaruh masih ada, tetapi berdepan cabaran peningkatan pengaruh kuasa lain terutama Iran dan juga Emiriyah.

2. Amerika Syarikat

AS kekal mempunyai agenda penting di Yaman, daripada mengekang Iran kepada sebagai alasan untuk terus terlibat, termasuk membekalkan senjata kepada negara-negara terlibat konflik.

Iran – selain alasan lama terorisme – tidak dapat dielakkan daripada menjadi perhatian AS, sebagai pendukung utama negara haram Israel, dan rakan rapat Saudi.

Sebagai kuasa besar, ia tidak mahu terlepas daripada terlibat dalam konflik di kawasan ini, yang meliputi Teluk Parsi, ke Laut Merah hingga ke laluan ke timur Mediterranean.

3. Emiriyah Arab Bersatu

Emiriyah meningkatkan pengaruh dengan pasti di Yaman sejak 2015, dengan fokus yang jelas dan konkrit di wilayah selatan.

Abu Dhabi berjaya menggerakkan agendanya, daripada mengukuhkan sekutu di selatan dan meningkatkan pengaruh dalaman pada masa tumpuan terhala pada Riyadh.

Kini, Aden boleh dikatakan tidak dapat dipisahkan lagi daripada pengaruh Abu Dhabi, dan “Yaman Selatan” yang boleh dikatakan sudah wujud ialah salah satu tanda kejayaan dasar luar Emiriyah di Yaman.

4. Iran

Dari sudut perhatian didorong isu negatif, tidak ada negara lain yang mengatasi Iran, yang dikait dengan segalanya dari terorisme hingga agenda meluaskan kuasa di dunia Arab.

Berbeza dengan Saudi dan Emiriyah, berita menumpu dan menyebut “kumpulan disokong Iran,” tidak kira besar atau kecil pengaruh yang wujud.

Iran boleh dikatakan berjaya, apabila Houthi tidak ada pilihan selain merapatkan diri dengan Tehran, memastikan pengaruh Iran kekal wujud di Sanaa dan kawasan paling penting Yaman.

Leave a comment