Tahun 2022 kini menuju ke garis penamat. Keadaan Yaman mengalami satu perubahan dramatik apabila gencatan senjata dicapai dan diperbaharui bermula Ramadan, menyebabkan keadaan menjadi lebih aman.
Malah, boleh dikatakan perjanjian gencatan senjata ialah peristiwa terbesar sepanjang 2022 ini.
Gencatan senjata inilah yang membawa kepada dikri menubuhkan Majlis Presiden, yang kini merupakan kuasa eksekutif tertinggi Yaman.
Pembahagian kuasa majlis ini menggambarkan pembahagian berbentuk seperti negara persekutuan, pada masa yang sama, kecenderungan pengaruh Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu yang kekal kukuh.
Walaupun satu jumlah besar penguasa Yaman tinggal di Arab Saudi, pusat kuasa Yaman di luar wilayah dikuasai Houthi ialah Aden yang dikuasai kumpulan pemisah Selatan.
Kumpulan Selatan diketuai Majlis Peralihan Selatan (STC) kekal berpengaruh di Yaman selain kawasan Houthi, malah mempunyai cengkaman ke atas pulau Socotra.
Tahun 2022 menyaksikan perkembangan bercampur. Keadaan kurang berkonflik berbanding tahun 2021 sebelumnya.
Walau bagaimanapun, konflik bukan satu-satunya yang menggugat Yaman.
Kesan perang dalam bentuk kerosakan infrastruktur dan masyarakat, dan kesan perubahan iklim yang impaknya meningkat akibat keupayaan negara yang merosot menambah derita Yaman.
Krisis kemanusiaan bukan sahaja berterusan, malah bertambah buruk kerana kapasiti infrastruktur termasuk bidang seperti pentadbiran kerajaan, perubatan dan pendidikan terjejas teruk sejak lapan tahun lalu.
Kekurangan makanan masih kritikal, dengan badan-badan bantuan masih berterusan menyampaikan bantuan, yang turut berdepan cabaran politik dalaman selain kekurangan dana.
Satu perkembangan positif, keadaan Covid 19 agak reda sepanjang 2022, dengan curahan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.
Yaman ialah sebuah negara kaya sumber, walaupun hasil pertanian terjejas sejak 2015, tahun bermula kesan-kesan krisis iklim paling jelas, termasuk taufan dan cuaca tidak menentu.
Taufan, banjir, panas ditambah dengan kemerosotan sumber air termasuk air bawah tanah yang sudah berlebihan dieksploit meletakkan Yaman sebagai salah sebuah negara paling terkesan oleh krisis iklim.
Dalam keadaan negara terjejas akibat perang, Yaman masih mampu mendapatkan hasil pertanian.
Antara hasil dikenali dari Yaman termasuklah madu lebah berkualiti tinggi, kopi, malah juga strawberi dari kawasan tanah tinggi, walaupun bukan antara pengeksport utama.
Pertanian untuk kegunaan dalaman antara yang terjejas, tetapi usaha pemulihan sudah dimulakan, walaupun cabaran perubahan iklim kekal sebagai satu cabaran utama Yaman.
Keadaan lebih aman kesan gencatan senjata, termasuk pengurangan konflik bersenjata secara keseluruhan, menyediakan peluang untuk usaha pemulihan Yaman.
Sekiranya keadaan lebih baik berterusan dan bertambah pulih pada tahun akan datang, Yaman akan mempunyai peluang lebih besar ke arah pemulihan, dengan syarat kepentingan politik dalaman dan luaran tidak mengganggu proses pemulihan.