Yaman 2022: Cabaran dan Harapan

Yaman hakikatnya ialah sebuah negara yang dianugerahkan banyak kelebihan, daripada sejarahnya sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w., geografi dan sumber semula jadinya, sejarah serta budaya, dan sumber keilmuan Islam yang utuh.

Yaman disebut sebagai antara sebuah negara yang paling lama wujud di dunia menurut sempadannya hari ini, walaupun sebahagian sudah ditakluk Arab Saudi.

Warganya dikenali sebagai manusia yang bekerja keras, pandai berniaga, dan memegang peranan sebagai salah satu penjaga aliran dan budaya ilmu Islam, yang dikembangkan ke seluruh dunia termasuk Nusantara.

Malangnya, Yaman sejak 2015 dilanda peperangan yang dahsyat, malah sebelumnya, sejak 2009, konflik antara Houthi dengan kerajaan di Sanaa berlaku beberapa kali walaupun tidak berterusan.

Pada masa yang sama, negara ini juga menjadi lokasi pengkalan-pengkalan rahsia al-Qaeda dan kumpulan berkaitan, ekoran suasana ketiadaan autoriti kerajaan yang menyeluruh di semua wilayah.

Akibat kedudukan geografi dan pembahagian mazhabnya, Yaman juga terdedah kepada campurtangan asing, terutama Arab Saudi.

Iran mengambil kesempatan melalui Houthi yang mahu membina kekuatan menghadapi kerajaan yang disokong Riyadh dan kemudian, gerakan Selatan yang disokong Emiriyah Arab Bersatu.

Akibat kedudukan geografinya juga, ia menjadi lokasi utama pelarian Somalia, walaupun keadaan kedua-dua negara boleh dikatakan tidak jauh bezanya.

Dari segi sumber asli, Yaman ialah sebuah negara yang subur, mempunyai kawasan tanah tinggi yang luas, sesuai untuk penanaman kopi dan banyak tanaman lain.

Yaman dikenali dengan kopinya, dan sejarah kopi yang bermula di sini menguatkan prestij kopi Yaman di seluruh dunia, terutama di kota-kota moden Barat.

Di negara sekitar, Yaman juga dikenali dengan madu berkualitinya, yang kini semakin sukar diperolehi kerana kemerosotan penghasilan disebabkan banyak faktor.

Walaupun cabaran paling jelas kelihatan pada masa kini ialah peperangan dan kesannya, perubahan iklim dan kegiatan manusia menjadi penyumbang utama krisis alam dihadapi Yaman.

Penebangan pokok untuk sumber kayu yang semakin tidak terkawal, eksploitasi sumber air bawah tanah yang tidak cermat, dan kesan terus daripada krisis iklim yang semakin parah sejak 2015 memburukkan lagi keadaan.

Kesan buruk krisis iklim menggandakan lagi bencana pada Yaman, dan kedua-duanya bermula pada masa sama, tahun 2015.

Tahun 2021, masa hampir semua pihak bersaing melihat peluang kekuasaan semakin hampir, keadaan menjadi semakin sukar, dan keamanan semakin sukar dicapai.

Houthi yang sudah menawak Sanaa sejak 2014 sudah berasa kuat, dan mahu menyempurnakan penguasaan dengan menguasai Marib.

Kerajaan yang terbuang berasa masih mendapat sokongan kuat Saudi dan dunia, manakala gerakan Selatan sudah merasakan mereka tidak dapat disaingi lagi di sebelah selatan.

Banyak pelan damai sudah diusahakan dan dipersetujui, tetapi tidak ada satu pun yang terlaksana seperti ditetapkan.

Tidak dapat dielakkan, kuasa-kuasa luar yang menyokong dan menjadikan pihak dalaman sebagai proksi dan bidak masing-masing perlu berperanan, memgambil peranan konstruktif ke arah perdamaian, walaupun susunan kuasa persetujuan ini akan jauh berbeza dengan Yaman sebelum 2015.

Kuasa-kuasa asing, dari dunia Arab sendiri dan kuasa Barat, tidak akan meletakkan kepentingan rakyat Yaman sebagai agenda utama.

Maka, tidak boleh tidak, negara-negara Islam perlu mengambil tanggungjawab, meletakkan Yaman di agenda tertinggi, seperti yang selama ini diberikan pada Palestin, kerana kedua-dua lokasi ini (Syam dan Yaman) amat kritikal pada umat Islam.

Leave a comment