Warisan Yaman Terus Terancam Akibat Perang

IMG-20220817-WA0009

Sejak gencatan senjata berkuatkuasa, usaha pemulihan sudah dimulakan untuk membaik pulih bangunan-bangunan lama di Sanaa, ibu negara Yaman yang bersejarah.

Dana dan tenaga yang banyak dikeluarkan untuk memastikan warisan Yaman yang dikenali sedunia ini terus kekal.

Walau bagaimanapun, cabaran yang dihadapi amat besar. Hujan lebat luar biasa yang melanda sejak lebih sebulan lalu di Yaman dan negara-negara lain di kawasan Teluk Parsi menampakkan kesan buruknya kepada warisan Yaman ini.

Menurut pihak berkuasa Houthi, sebanyak 10 buah bangunan di Kota Lama runtuh akibat hujan lebat dan banjir kilat yang melanda. Struktur bangunan dan usia yang lama akhirnya tewas kepada kuasa alam.

Manakala sebanyak 80 buah bangunan lagi, termasuk yang masih menjadi kediaman warga Sanaa, rosak teruk akibat kesan hujan lebat dan memerlukan baik pulih segera.

Ini bermakna usaha pemulihan yang sudah berjalan hanya dapat memulihkan dan membina bangunan yang sudah dikenal pasti.

Pada masa sama kerja-kerja pemulihan berjalan, banyak lagi bangunan lain terus rosak dan musnah.

Ini memerlukan tambahan wang dan tenaga yang banyak untuk ditangani, dalam keadaan keperluan lain terutama makanan dan infrastruktur asas perlu diperolehi dan dipulihkan.

Bangunan warisan sejarah ini bukan satu-satunya warisan Yaman yang terancam akibat perang.

Satu komoditi penting yang dikenali identitinya sebagai bersumber Yaman ialah madu lebah, yang paling popular dikenali madu Sidr.

Madu ini dihasilkan dari hanya bunga pokok sidr, dan jumlah dihasilkan terhad kerana pokok dan kawasan hutan di Yaman yang semakin berkurangan.

Madu yang terkenal dan bernilai tinggi ini ialah salah satu eksport utama Yaman, tetapi penghasilannya semakin merosot kesan perang.

Selain kesan krisis iklim yang menjejaskan alam sekitar termasuk hutan Yaman, perang menjadikan kerja-kerja memungut madu dan segala kerja berkaitan eksport semakin sukar.

Realiti berkaitan penghasilan madu Sidr ini menunjukkan kesan jelas pertemuan perubahan iklim dan peperangan, ditambah dengan pandemik Covid-19 bermula 2020.

Dua warisan penting Yaman ini terancam bukan sahaja akibat kesan terus daripada perubahan iklim dan perang, tetapi juga kesan lanjutannya, kerana dalam keadaan yang sukar melibatkan nyawa dan kekurangan kemudahan asas, warisan sejarah biasa tidak menjadi keutamaan untuk dipelihara.

Leave a comment