Usaha kukuh kedudukan, Houthi terus gempur Marib

Houthi yang kini menguasai Sanaa menyedari kedudukannya sebagai sebuah kerajaan walaupun tidak diiktiraf, memerlukannya membina kedudukan kukuh.

Kedudukan yang kukuh bermakna ia akan diambil serius dalam sebarang rundingan, oleh kedua-dua pihak dalam negara dan luar negara termasuk kuasa serantau dan antarabangsa.

Houthi sudah menerima pengiktirafan dari Iran dan Syria, dua negara dari kem yang sama di Asia Barat.

Pengiktirafan kuasa yang dimusuhi Barat ini tidak cukup untuk Houthi memastikan keselamatan dan kelangsungannya. Maka, ia berusaha menguasai Marib, kawasan yang sehingga tahun lalu, agak terlindung daripada perang di Yaman.

Wilayah bersempadan Arab Saudi ini membangun agak pesat kebelakangan ini, sebahagiannya dengan bantuan negara jiran di utara itu. Marib kaya minyak dan cukup kemudahan untuk menjadi sebuah pusat kegiatan ekonomi.

Sejak perang, Marib dibanjiri pelarian dalam negara, menjadikannya destinasi penting pertubuhan bantuan asing dan menyumbang juga kepada aktiviti ekonomi. Menurut PBB, sekitar 2 juta pelarian mendiami kem-kem pelarian di Marib.

Sejak beberapa minggu lepas, keadaan di Marib makin tegang, dengan Houthi meneruskan kemaraan dan pihak kerajaan bertahan agar tidak terlepas kawasan terakhir dikuasainya di luar Aden dan bahagian selatan.

Berpuluh-puluh, malah menurut sumber lain beratus tentera Houthi dan kerajaan telah terkorban dalam pertempuran di Marib sejak beberapa minggu lalu.

Sumber tentera kerajaan memberitahu agensi berita AFP hari ini bahawa 22 anggota tentera kerajaan dan 28 anggota Houthi terkorban dalam pertempuran sejak 24 jam lalu.

Manakala 60 anggota Houthi telah terkorban pada Jumaat di Marib, korban terbesar sejak pertempuran bermula pada 8 Februari.

Menurut sumber itu, seorang komander pasukan khas kerajaan di Marib, Jeneral Abdel Ghani Shaalan ialah antara yang terkorban.

Kedua-dua pihak Houthi dan kerajaan dikatakan tidak mempunyai kelebihan dan masing-masing kekal bertahan.

Al-Jazeera melaporkan, bekas diplomat Amerika Syarikat di Yaman, Nabeel Khoury berkata kedua-dua pihak mahu kedudukan lebih kuat melalui penguasaan Marib sekiranya berlaku rundingan damai.

Pasukan tentera pakatan diketuai Saudi telah melancarkan lebih daripada 12 serangan udara untuk menyokong pasukan tentera kerajaan, lapor saluran berita Houthi, al-Masirah TV.

Kerajaan pula mendakwa pihak Houthi telah menembak 10 peluru berpandu balistik di Marib pada Jumaat, tetapi tidak ada kematian dilaporkan.

Pertempuran Marib ini kini semakin sengit dan kedua-dua pihak terus agresif mahu memastikan lokasi strategik ini dikuasai.

Kesan buruk akibat perang pula akan menjejaskan pelarian dan penduduk tempatan, yang berpotensi berdepan ancaman terus daripada konflik dan kesan lain termasuk gangguan terhadap aktiviti harian dan infrastruktur.

Leave a comment