Tanda paling jelas perang Yaman berakhir

WhatsApp Image 2023-05-21 at 12.03.49

Peperangan di Yaman melibatkan pakatan diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu boleh dianggap sedang menuju penghujung.

Perancangan ke arah perdamaian dan peralihan kepada pemerintahan baharu sedang diusahakan melibatkan kuasa-kuasa serantau dan dalaman.

Tindakan konkrit sudah kelihatan walaupun masih boleh berlaku perubahan ke arah yang tidak dikehendaki.

Semua tanda pula memberi gambaran Yaman akan dipastikan aman selepas ini, berdasarkan perancangan kuasa-kuasa terlibat.

Walau bagaimanapun, banyak tanda ini menunjukkan yang Yaman sudah tidak berada di kedudukan tertinggi dalam senarai keutamaan.

Tidak seperti tahun 2015, tahun 2023 membawa perkembangan lain yang juga penting kepada negara-negara terlibat.

Usaha untuk mendamaikan Yaman, didasari juga oleh kepentingan negara-negara terlibat yang sudah berubah.

Bagi Arab Saudi yang mengetuai kempen perang Yaman pada 2015, tahun 2023 memerlukan lebih tenaga untuk fokus pada ekonomi dan kestabilan sosiopolitik dalaman.

Di bawah Putera Mahkota Mohamed bin Salman, Saudi sedang membina satu imej baharu, dan tumpuan sedang diberikan pada isu dalaman termasuk pembangunan.

Antara yang diperlukan dalam pembinaan wajah baharu ini termasuklah tidak lagi dilihat sebagai pelaku utama pembunuhan di Yaman.

Projek mega seperti bandar Neom, “kota masa depan” yang terletak di hujung utara Laut Merah, berseberangan dengan Semenanjung Sinai yang dipisahkan oleh Teluk Aqaba.

Pemulihan hubungan dengan Iran pula menunjukkan yang satu perubahan agenda yang besar sudah berlaku melibatkan Arab Saudi.

Ini lebih penting dalam keadaan hubungan penting dengan Amerika Syarikat sudah melalui banyak perubahan dan semakin mencabar, termasuk melibatkan perdagangan minyak.

Bagi Emiriyah Arab Bersatu pula, seawal 2015 tidak lama selepas memasuki Yaman, tumpuan sudah diberikan ke sebelah selatan, membina hubungan rapat dengan kumpulan Selatan.

Bagaimanapun pada tahun-tahun kebelakangan ini, perkembangan di Sudan juga memerlukan tenaga dan masa untuk ditangani.

Abu Dhabi terlibat dengan mendalam juga di Sudan, sebuah lagi negara di timur Afrika bersempadan Laut Merah.

Emiriyah sentiasa berhubungan baik dengan pihak yang berkuasa di Khartoum sejak Omar al-Bashir dijatuhkan.

Ini menunjukkan kepentingan yang kuat di Sudan, memerlukan tumpuan yang lebih terutama pada masa ini, dalam keadaan pemerintahan masih belum pasti dipegang pihak mana.

Selain melibatkan politik yang lebih luas, kepentingan Emiriyah di Sudan yang jelas ialah sumber emasnya, yang urusannya memerlukan kerajaan yang berhubungan baik dengannya.

Kejayaan rakan yang rapat dan dipercayai di Sudan amat penting bagi Emiriyah, memandangkan negara Sungai Nil ini ialah satu bahagian dalam agenda lebih besar di seluruh Laut Merah.

Seperti juga Riyadh, Abu Dhabi juga berdepan perubahan bentuk hubungan dengan AS, yang masih rakan penting tetapi tidak semestinya selari dari segi kepentingan.

Yaman tetap sebahagian penting agenda besar kedua-dua Arab Saudi dan Emiriyah, terutama melibatkan susunan kuasa di rantau Arab, terutama melibatkan kawasan Laut Merah.

Maka, apa yang berlaku di Yaman tidak akan terpisah daripada gambaran lebih besar melibatkan semua negara yang berkepentingan.

Leave a comment