Yaman dikenali dengan banyak perkara yang menjadi simbol dan identiti negara Arab yang unik ini.
Makanan Yaman ialah antara yang paling dikenali di seluruh dunia, dan menjadi antara makanan asing popular di negara seperti Malaysia.
Di Malaysia, restoran dengan nama Hadramawt bertebar di seluruh negara, selain yang meletakkan nama “Yemen” sebagai pengenalan.
Walaupun masakan dan makanan tersebut wujud dalam pelbagai variasi di seluruh dunia Arab, resepi khusus dari Yaman paling popular.
Pada masa yang sama, peniaga Yaman juga menjadi antara penguasaha makanan Arab paling produktif di Malaysia.
Salah satu item menarik dari Yaman ialah teh Adani, atau shai Adeni, teh berempah dicampur susu.
Seperti teh tarik di Malaysia, teh Adeni ini lebih berperisa, dan boleh dikatakan satu tahap lebih tinggi daripada teh yang biasa didapati di kedai-kedai di Malaysia.
Ada beberapa variasi resepi minuman popular ini, tetapi yang agak biasa ialah menggunakan susu pekat manis.
Walau bagaimanapun, susu segar juga boleh digunakan untuk rasa yang lebih lemak.
Berikut satu resepi ringkas minuman popular dari selatan Yaman ini. Sukatan ini sesuai untuk 2-3 orang.
– Mulakan dengan teh yang berkualiti dan lebih pekat dan sesuai untuk teh bersusu (black tea).
– Pastikan teh yang betul, supaya rasanya kena dengan teh bersusu dan berempah. Teh jenama dari Yaman, Al-Kbous boleh dijadikan pilihan pertama.
– Mula-mula panaskan air sebanyak setengah liter, 500ml. Panaskan hingga mendidih.
– Masukkan teh sebanyak dua sudu kecil atau mengikut cita rasa sendiri.
– Kemudian masukkan beberapa biji buah pelaga (5 hingga 7 biji), sedikit kulit kayu manis (cukup sekadar sepanjang 2cm), dan sesudu kecil serbuk halia. Ketuk atau tumbuk dahulu buah pelaga dan kayu manis. Biarkan selama 2-3 minit.
– Tambah susu pekat manis sebanyak tiga sudu besar atau mengikut cita rasa dan biar seketika.
– Padamkan api, tapis teh dan sedia untuk diminum.
Teh ini sesuai menjadi alternatif kepada teh tarik, menjadikan sesi mengeteh lebih mengujakan.