Yaman terus menunjukkan semangat luar biasa dalam isu Palestin, apabila menjadi lokasi pertama perarakan besar-besaran, dan dalam tempoh singkat, disusuli dengan satu lagi perhimpunan besar.
Sejak awal, Houthi, pihak berkuasa di Sanaa sudah menunjukkan sokongan kepada pejuang dan rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Houthi memberi amaran akan menembak peluru berpandu ke Israel jika perang merebak dan kuasa luar masuk campur membantu Yahudi.
Pendirian Houthi ini dikaitkan dengan hubungan kumpulan ini dengan Iran, yang mempunyai rangkaian sekutu dan proksi di seluruh dunia Arab, dan Houthi ialah salah satu sekutu utamanya.
Slogan Houthi sendiri ada menyebut “jahanam Israel,” menggambarkan kedudukan kumpulan ini dalam pembahagian ideologi dan geopolitik dunia Arab.
Walau bagaimanapun, sentimen terhadap Zionis ini tidak dimonopoli oleh Houthi atau kumpulan-kumpulan pro-Iran.
Baru-baru ini, berlaku perarakan dan perhimpunan besar-besaran di Yaman oleh satu jumlah besar rakyat menunjukkan sokongan kepada Palestin.
Perhimpunan ini menunjukkan kesediaan rakyat Yaman sendiri merentasi aliran dan kabilah yang menunjukkan sokongan kuat kepada perjuangan Palestin.
Sokongan ini bukan sekadar pertunjukan sokongan dan laungan slogan, malah disertai dengan ikrar dari wakil-wakil masyarakat Yaman.
Peserta perarakan juga menyatakan kesediaan untuk menjadi tentera sukarela dan dihantar ke Gaza.
Pada masa ini, realitinya, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh negara-negara Arab berjiran dengan Gaza dan Palestin.
Peraturan dunia zaman ini disusun oleh ketetapan negara bangsa dengan sempadan dan segala undang-undang yang dipersetujui antarabangsa.
Pada masa sama, negara-negara Arab juga berdepan pelbagai halangan untuk bertindak lebih daripada biasa untuk membantu Palestin, seperti melibatkan perang dan persenjataan.
Bantuan yang diberikan dilakukan melalui jalan yang tidak terbuka, seperti yang dilakukan oleh Iran dan Syria untuk Hamas, Jihad Islami, dan Hizbullah.
Secara rasmi, tidak ada negara yang mampu bertindak secara ketenteraan terhadap Zionis kerana ketidakseimbangan kekuatan dan realiti politik antarabangsa.
Walau bagaimanapun, sejarah panjang perjuangan Palestin menunjukkan rakyat Palestin sendiri mampu berdepan secara bersenjata dengan Israel, walaupun sukar dan menuntut korban yang besar.
Seiring dengan ini juga, sentiasa ada pihak dari luar yang bersedia menghulur bantuan dalam pelbagai bentuk.
Apa yang ditunjukkan di Yaman kini ialah petanda-petanda semangat sokongan dan pengorbanan umat untuk perjuangan menentang kezaliman dan penjajahan musuh.