Sejauh mana Syiahnya kerajaan Yaman? (Bahagian 1/2)

WhatsApp Image 2023-11-07 at 13.15.37_e47d234b

Selepas tentera Yaman mengumumkan ketetapan untuk membantu rakyat Gaza melawan Zionis di sana, timbul isu mengaitkan kerajaan di Sanaa ini dengan Syiah dan Iran.

Secara mudahnya, sejak menawan Sanaa pada hujung 2014, kerajaan asal Yaman sudah dijatuhkan, dan Houthi merupakan pihak yang mengambil alih pemerintahan.

Sejak itu, malah hingga pasukan diketuai Arab Saudi memulakan tindakan ketenteraan di Yaman, isu utama yang dijadikan tumpuan ialah Syiah dan Iran.

Isu Houthi yang Syiah dan pengaruh Iran menjadi berita paling besar hingga menenggelamkan banyak topik lain, walaupun Houthi dan warga Syiah hanya minoriti tertumpu di utara.

Masa sama, beza Syiah Zaidiyah dengan Imamiyah diabaikan sejak awal, dan media umat Islam sendiri hingga kini suka menggunakan istilah “Syiah Houthi,” memberi penekanan pada Syiah itu.

Sebenarnya, tidak lama selepas operasi di Yaman bermula, Emiriyah Arab Bersatu memulakan agenda sendiri di sebelah selatan, tapi isu ini tidak mendapat perhatian dan tidak sensasi dan menjentik emosi seperti kata kunci “Syiah.”

Latar inilah yang akhirnya kekal mempengaruhi perspektif ramai terhadap Yaman, dengan tumpuan pada Syiah dan Iran, yang hakikatnya, tanpa menafikan agenda politik Houthi dan Iran, lebih kepada propaganda Arab Saudi dan juga Israel (pemimpin Yahudi Benjamin Netanyahu hadir ke Kongres Amerika Syarikat pada masa itu untuk mendesak Yaman diserang).

Sekarang ini, selepas lebih daripada lapan tahun Houthi berkuasa di Sanaa, kumpulan ini sendiri tidak boleh lagi hanya menumpu pada agenda “Syiah” atau ideologi kumpulannya.

Sebagai kerajaan, Houthi dan rakan-rakan dalam kerajaan perlu memberi perhatian pada pentadbiran negara, dan di negara Yaman dan Sanaa, Syiah hanya sebahagian kecil rakyat.

Jika diperhatikan balik pada 2014 semasa Houthi memasuki Sanaa, muncul gambar-gambar militia Houthi dengan anggota tentera Yaman berseragam.

Pada masa itu, Houthi dapat memasuki Sanaa dengan agak mudah. Antara sebabnya ialah tentera kerajaan pada masa itu di bawah Ali Abdullah Saleh yang berpaling tadah.

Banyak aset ketenteraan Yaman diambil bersama tentera yang memindahkan sokongan ini.

Maka, kerajaan di Sanaa sejak hujung 2014 hingga ke hari ini ialah kerajaan Yaman yang sudah diambil alih oleh Houthi.

Walau bagaimanpun, ini tidak bermakna kerajaan Yaman kini ialah sebuah kerajaan Syiah seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

Kumpulan Houthi sendiri sudah menerima sokongan banyak pihak lain sejak dapat menguasai Sanaa, sekurang-kurangnya sokongan kepada sebuah kumpulan yang menguasai pentadbiran kerajaan.

Sanaa dan kawasan di pantai barat Yaman ialah kawasan paling padat penduduk, dan tidak dapat dielakkan daripada peranan sebagaj kerajaan bagi majoriti penduduk Yaman.

Leave a comment