Bandar Lama Sanaa mempunyai sejarah tersendiri yang hebat, tercatat dalam sejarah sejak zaman nabi-nabi, menjadi antara bandar paling lama pernah diduduki manusia.
Bandar Lama Sanaa, sebahagian daripada Sanaa yang bersejarah dan strategik, sudah didiami sejak 2,500 tahun lalu.
Maka tidak hairanlah kota ini menjadi bandar warisan dunia Unesco yang paling dikenali, dengan banyak imejnya muncul di mana-mana.
Seni binanya yang unik segera menangkap perhatian. Binaan dan corak pada luar bangunan seperti disaksikan di Sanaa amat menarik dan memberi gambaran sejarahnya yang menarik.
Warisan sejarah ini walau bagaimanapun semakin terancam, akibat perang yang menjejaskan kemakmuran dan kesejahteraan hidup secara umumnya, dan kesan perubahan iklim yang telah beberapa kali menyebabkan banjir kilat berlaku.
Seawal 2015, tahun perang diketuai pihak asing bermula di Yaman, sudah tercatat kemusnahan di kota lama ini.
Serangan oleh pesawat tentera diketuai Arab Saudi telah memusnahkan beberapa bangunan di kawasan lama ini, memulakan satu perjalanan ke arah kemusnahan di sini.
Akibat perang juga, keadaan ekonomi semakin suram, dan kemampuan kerajaan dan penduduk untuk menyelenggara bangunan dan kediaman lama semakin terjejas.
Semakin banyak bangunan, walaupun tidak berdepan ancaman kemusnahan perang, tetap terancam kerana tidak dapat diselenggara.
Malang sekali, keadaan yang terjejas akibat perang ditambah buruk oleh iklim yang berubah.
Sejak setahun lalu sekurang-kurangnya, Bandar Lama Sanaa sudah beberapa kali dilanda banjir kilat, pada masa sama kesan iklim juga memamah binaan lama ini.
Tahun lalu, dilaporkan sebanyak 5,000 buah binaan mengalami kebocoran atap, manakala sebanyak 107 buah lagi sudah runtuh sebahagiannya.
Sejak tahun lalu, hujan lebat turun jauh melebihi musim biasa, bermula pada April dan berterusan hingga September.
Ini semua membebankan dan menyebabkan kemerosotan struktur bangunan-bangunan lama di Sanaa.
Pihak berkuasa sudah memulakan kerjasama dengan Unesco, tetapi kadar kemerosotan nampak berlaku dengan pantas.
Tahun 2021 ini juga, hujan lebat dan banjir kilat sudah menambahkan lagi kesan kemusnahan bangunan-bangunan lama di kota bersejarah ini.
Menurut pengkaji, Wael al-Ahnomi dalam satu laporan diterbitkan pusat kajian Pusat Kajian Strategik Sanaa, “Bandar Lama ini dianggarkan meliputi satu kawasan sekitar 5.87 km persegi. Ia mengandungi 56 kawasan kejiranan, 7,000 bangunan kediaman, 42 buah masjid, 40 pasar, dan 15 buah hamam. Populasi pada 2004 ialah 156,569 orang.”
Perhatian pada kota bersejarah warisan dunia ini mula sedikit meningkat kebelakangan ini, apabila mula banyak mendapat liputan berita antarabangsa.
Malah, baru-baru ini bekas Perdana Menteri New Zealand yang pernah bertugas dalam program pembangunan PBB turut menyuarakan kebimbangannya terhadap Sanaa dalam satu catatan di Twitter.
Hal berkaitan sejarah dan identiti ini kini menjadi satu lagi kritikal di Yaman, yang berdepan ancaman dan diabaikan masyarakat dunia termasuk sebahagian besar dunia Islam sendiri.
Usaha melindungi warisan di Sanaa ini kini ialah satu usaha penting dalam melindungi satu warisan sejarah umat Islam, yang Yaman ialah salah satu lokasi penting dalam sejarah umat.