Saudi Cari Jalan Terakhir Selamatkan Yaman Dari Houthi?

Isnin lalu, Jake Sullivan, penasihat keselamatan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden melawat Arab Saudi bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Lawatan ini dibuat secara senyap-senyap, dan pihak AS hanya mengumumkannya setelah Sullivan tiba di Arab Saudi.

Pihak pentadbiran Biden juga tidak menghebahkan pertemuan penting ini seperti biasa, dan gambar rasmi pertemuan Sullivan dengan putera mahkota yang juga dikenali sebagai MBS itu juga tidak disiarkan.

Pertemuan ini menyaksikan lawatan pegawai tertinggi daripada pentadbiran Biden ke Arab Saudi, pada masa suasana di rantau Asia Barat semakin mencabar, termasuk di Yaman.

Sullivan diiringi wakil khas ke Yaman Tim Lenderking, penyelaras khas Timur Tengah bagi Rumah Putih, Brett McGurk, dan duta AS ke Saudi, Martina Strong.

Mereka mengadakan pertemuan dengan timbalan menteri pertahanan Khalid bin Salman, menteri dalam negeri Abdulaziz bin Saud bin Nayef, menteri pengawal kebangsaan Abdullah bin Bandar, dan penasihat keselamatan nasional Musaed al-Aiban.

Nama-nama yang terlibat dalam pertemuan memberi isyarat isu-isu penting dibicarakan dalam pertemuan, terutama Yaman.

MBS berdepan keadaan yang sukar dalam hubungannya dengan Washington ekoran pembunuhan warga Saudi, Jamal Khashoggi yang juga kolumnis akhbar berpengaruh AS, Washington Post pada Oktober 2018.

Riyadh ialah negara yang mengetuai kempen ketenteraan disertai negara-negara Arab di Yaman bermula 2015.

Saudi kini berdepan masalah kerana masih terpaksa bergelut dengan masalah Yaman tanpa strategi pengunduran yang jelas, dengan kos yang terus meningkat.

Pertemuan ini juga diadakan pada masa kumpulan Houthi kelihatan hampir dapat menguasai Marib, wilayah pesat membangun dan kaya minyak, kawasan terakhir di utara yang masih dikuasai kerajaan diiktiraf.

MBS dilihat mengambil peluang pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan AS ini untuk membincangkan pilihan menangani masalah di Yaman, dalam menghadapi Houthi secara keseluruhan dan langkah segera menangani kemaraan Houthi di Marib.

Kejayaan Houthi menawan Marib akan melengkapkan penguasaan kumpulan disokong Tehran itu
di Yaman sebelah utara, selepas menguasai Sanaa sejak hujung 2014.

Kemenangan Houthi akan memalukan Riyadh, negara pemimpin kempen ketenteraan di Yaman yang dimulakan dengan alasan memerangi pengaruh Iran.

Leave a comment