Menteri Luar Arab Saudi, Faisal Farhan mengisytiharkan “gencatan senjata komprehensif,” sambil mengajak Houthi menerima langkah ini.
Beliau menggesa Houthi menunjukkan yang kumpulan itu tidak bergantung kepada Iran, sambil menyebut usaha Amerika Syarikat, PBB, dan Oman sebagai orang tengah dalam langkah perdamaian terbaru ini.
Pengumuman Saudi ini bagaimanapun disambut dengan berhati-hati oleh kumpulan Houthi, yang semakin mara di Marib dan mengukuhkan kedudukan di Sanaa.
Beberapa pemimpin Houthi menunjukkan reaksi bercampur, antara menerima dan menerima dengan syarat.
Ini bagaimanapun masih awal untuk dinilai, kerana Houthi konsisten dengan tuntutan sekatan terhadapnya ditamatkan, dan lapangan terbang Sanaa dibuka.
Kepungan Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu menyekat pelbagai aktiviti dijalankan di Sanaa dan kawasan paling ramai penduduk di Yaman yang di bawah penguasaan Houthi.
Houthi dijangka menggunakan tawaran ini untuk berunding bagi mengukuhkan lagi kedudukannya, memaksa Saudi dan dunia luar menerima dan mengiktirafnya sebagai pihak berkuasa di Sanaa, mewakili Yaman, atau lebih tepat, Yaman bahagian utara.
Bahagian selatan Yaman kini dikuasai pemisah Majlis Peralihan Selatan (STC), dan sentimen penduduk Selatan semakin kuat mahu merdeka, dan melihat apa yang berlaku di Sanaa dan Marib sebagai hal ehwal utara.
STC dan gerakan Selatan menguasai bahagian selatan walaupun kerajaan diiktiraf antarabangsa kini bertempat di Aden, bandar yang merupakan ibu negara Yaman Selatan sebelum penyatuan.
Pengumuman Saudi ini juga meletakkan perhatian dan beban pada pihak Houthi, yang boleh dianggap menolak perdamaian sekiranya tidak memberikan respons positif.
Saudi sejak beberapa hari lalu melakukan serangan udara ke atas Sanaa, sebagai respons kepada serangan dron Houthi ke atas Arab Saudi, yang termasuk fasiliti minyak.
Kemampuan ketenteraan Houthi semakin meningkat kebelakangan ini, dengan keupayaan dron yang telah beberapa kali berjaya mensasarkan kawasan pengeluaran minyak Saudi.
Perkembangan ini menyebabkan Saudi dilihat mahukan perdamaian untuk menyelamatkan dirinya dan menyusun tindakan lain, yang ditujukan pada Houthi dan juga Iran, yang menjadi penyumbang besar kepada peningkatan keupayaan ketenteraan Houthi.
Riyadh kelihatan semakin terbeban dengan perang Yaman dan mahu menyediakan satu jalan keluar daripada kemelut ini, yang sudah berlangsung sejak 2015.
Pada masa yang sama, kuasa besar AS kini dipimpin Joe Biden daripada parti Demokratik yang diharapkan untuk menamatkan perang Yaman.
Kedua-dua Saudi dan Emiriyah mahu sehaluan dengan dasar luar AS di bawah Biden agar sentiasa kekal sebagai rakan rapat dan penting, dan Yaman ialah satu medan utama untuk menentukan hal ini.