Rundingan Saudi-Iran: Apa kesan pada Yaman?

Pada September 2014, satu perkembangan geopolitik yang mengejutkan berlaku di Yaman, negara yang sedang menyaksikan perubahan akibat gelombang kebangkitan rakyat serantau.

Bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh, bergabung dengan pemberontak Houthi yang berpusat di utara mara ke Sanaa, dan menawan ibu negara itu, memaksa pemimpin pada masa itu Abdraouh Mansur Hadi melarikan diri ke Arab Saudi.

Ali Abdullah disokong oleh Emiriyah Arab Bersatu, dan berhubungan baik dengan Saudi. Houthi pula disokong Iran. Hakikat bahawa dua pihak ini bergabung dan bekerjasama amat mengejutkan pada masa itu.

Kemaraan Houthi dan bekas presiden yang disokong satu kumpulan besar tentera Yaman itu bermakna beberapa negara serantau telah bekerjasama menjatuhkan sebuah kerajaan diiktiraf antarabangsa dan membantu Iran mencapai agenda.

Ada beberapa pandangan kenapa ini berlaku. Ada yang mendakwa pada masa itu, Emiriyah, malah Saudi juga pada tahap tertentu bekerjasama dengan Iran, atau membiarkan kemaraan Houthi demi maslahah lebih utama menolak kerajaan di Sanaa yang dikuasai elemen Islah.

Dikatakan, berlaku satu kerjasama terhad sementara untuk menolak elemen Islah, atau Ikhwan Muslimin Yaman daripada menguasai Sanaa. Islah, yang disokong Qatar sebelum itu menjatuhkan kerajaan Ali Abdullah, mengambil kesempatan daripada gelombang kebangkitan “Arab spring.”

Latar politik dunia pada masa itu memberikan satu lagi penjelasan. Amerika Syarikat dan negara-negara Majlis Keselamatan PBB dan Jerman pada masa itu sedang berunding dengan Iran dan sudah dijangka akan mencapai keputusan positif.

Suasana pada masa itu, di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama di AS, menunjukkan pemulihan hubungan AS dengan Iran.

Kesan di Yaman pada masa itu tidak dapat diterangkan sepenuhnya dengan pemulihan hubungan AS-Iran dan sekutu-sekutu AS dengan Iran.

Bagaimanapun, di medan persaingan di Yaman, berlaku sesuatu yang di luar jangkaan kesan daripada perkembangan melibatkan kuasa-kuasa yang berkepentingan di Yaman.

Kebelakangan ini berlaku satu lagi perkembangan yang boleh memberi kesan besar pada Yaman. Arab Saudi dan Iran pada 9 April lalu bertemu dan bersemuka di Iraq untuk memulakan proses rundingan.

Pertemuan ini dalam suasana hari ini ialah satu perkembangan yang menarik, kerana pelbagai perkara yang mampu ditangani antara dua negara ini dan implikasi serantaunya.

Rundingan awal di Iraq itu ialah kali pertama wakil Saudi dan Iran bertemu selepas 2016, apabila hubungan kedua-dua negara terputus sepenuhnya kesan hukuman mati ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr di Arab Saudi.

Yaman akan menjadi tajuk dalam agenda tertinggi rundingan kedua-dua negara, memandangkan perkembangan terkini, dengan Houthi semakin rapat dengan Iran dan serangan dron ke atas Arab Saudi semakin meningkat.

Riyadh juga sebenarnya sedang mencari jalan untuk keluar daripada konflik Yaman, yang sudah berlarutan lebih 6 tahun dengan kos kewangan dan politik yang tinggi.

Rundingan masih di peringkat awal dan belum ada jaminan akan berjaya, tetapi kenyataan Putera Mahkota Mohamad bin Salman baru-baru ini menunjukkan satu tanda perubahan pendirian Riyadh.

Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan yang cukup besar untuk meneruskan rundingan dan mencapai sesuatu yang konkrit.

Pada masa sama, rundingan nuklear antara kuasa-kuasa dunia dengan Iran juga sudah bermula. Iran mengharapkan agar pentadbiran Presiden Joseph Biden mengulangi apa yang dicapai bersama Obama.

Memandangkan Riyadh ialah rakan rapat Washington, dua rundingan ini akan membawa kepada satu keadaan baharu yang selari.

Rundingan nuklear yang menamatkan sekatan sekaligus membuka ruang kepada negara itu bergerak lebih bebas amat diharapkan Iran. Kos sekatan dan peminggiran amat berat kepada Iran.

Bagi Saudi, kejayaan rundingan dengan Iran akan membuka ruang untuk meredakan kesan daripada perang di Yaman. Terkini, Saudi ialah pihak yang paling teruk menanggung kesan buruk perang Yaman, termasuk melibatkan imej di arena antarabangsa.

Kejayaan rundingan akan membawa kepada hasil-hasil yang dijangka dan tidak dijangka. Paling utama, boleh dijangka serangan dron ke atas fasiliti minyak Saudi akan tamat.

Houhi dan Iran juga pasti akan mengaut hasil daripada rundingan dan perjanjian dicapai dengan Arab Saudi, yang berpotensi mengukuhkan kedudukan mereka di Yaman terutama di Sanaa, dan juga di Marib sekiranya keadaan di medan pertempuran menyebelahi Iran.

Perang dan segala krisis tidak akan berakhir sebaik mana pun hasil rundingan Saudi-Iran ini, dan usaha pemulihan Yaman memerlukan usaha bersepadu banyak pihak di dalam dan luar Yaman, kerana peranan kuasa luar ini hanya satu sisi daripada keseluruhan perkembangan semasa di Yaman.

Leave a comment