Rundingan Saudi-Houthi: 10 perkara penting

WhatsApp Image 2023-09-24 at 20.14.31

Seminggu lalu, delegasi Houthi melawat Arab Saudi untuk merundingkan penyelesaian perang di Yaman, melibatkan kepentingan dua pihak utama ini.

Sebelum ini, rundingan terhenti akibat dakwaan wujudnya campur tangan asing.

Houthi mendakwa Amerika Syarikat cuba mempengaruhi Riyadh untuk mengambil tindakan-tindakan tertentu, yang merugikan Houthi dan seluruh kerajaan di Sanaa.

Dalam rundingan terbaru ini, beberapa hal penting, termasuk pembukaan lokasi dan infrastruktur yang sebelum ini terkepung dan pembayaran gaji penjawat awam di bawah pentadbiran Houthi kelihatan semakin hampir dipersetujui.

Berikut 10 perkara penting yang perlu diketahui berhubung rundingan ini.

1. Rundingan memberi gambaran kejayaan pemulihan hubungan antara Arab Saudi dengan Iran, kerana Houthi di Yaman selama ini menjadi kes jelas pengukuhan pengaruh Yaman di dunia Arab, di negara jiran Arab Saudi.

2. Kepentingan paling menonjol kini ialah kepentingan Saudi yang mahu bebas daripada masalah di Yaman, dan Iran yang kini sudah mempunyai rakan atau sekutu dengan kedudukan lebih kukuh sebagai kerajaan dan bukan lagi kumpulan pemberontak.

3. Saudi hanya berunding hal-hal yang hendak dicapai dengan Houthi yang kini menjadi kerajaan di Sanaa, (tanpa wakil kerajaan diiktiraf dan pihak Selatan) mewakili kawasan paling padat penduduk di seluruh Yaman. Kedua-dua pihak mempunyai perkara khusus yang dimahukan.

4. Saudi mahu serangan peluru berpandu dan dron oleh Houthi dihentikan, demi keamanan Saudi yang kini sedang rancak dengan pelbagai projek mega ekonomi termasuk liga bola sepak profesionalnya, satu projek besar mengukuhkan kuasa dan pengaruh.

5. Rundingan ini juga menampakkan dengan jelas persaingan Saudi dengan Emiriyah Arab Bersatu. Riyadh mengiktiraf Houthi sebagai kerajaan yang efektif di Yaman, dan melihat kumpulan ini mampu menjamin keselamatan melibatkan Saudi.

6. Pihak Saudi juga mengiktiraf Yaman sebagai sebuah negara yang bersatu, dan melihat seluruh sumber termasuk dari sebelah selatan perlu memasuki kantung kerajaan di peringkat pusat di Sanaa.

7. Pada masa sama pengaruh Majlis Peralihan Selatan (STC) cuba dilunakkan, Saudi juga meningkatkan pengaruh di sebelah Hadramawt, dengan membina satu kumpulan pentadbiran baharu untuk mewakili kepentingan wilayah besar itu.

8. Kepentingan rakyat terbanyak juga dibimbangi boleh terabai, kerana kepentingan utama antara kedua-dua pihak Saudi dan Houthi ialah penyelesaian politik, dan kedua-dua pihak menumpu pada survival masing-masing.

9. Selain Arab Saudi, Oman yang bertindak sebagai perantara juga memperolehi bahagiannya, termasuk sebagai pihak yang menyumbang kepada pengukuhan Houthi yang semakin kuat sebagai kerajaan diterima di Sanaa.

10. Rundingan akan dapat mengukuhkan kepentingan Saudi, pada masa sama membantu Iran menguatkan penguasaan, dan meningkatkan imej positif China yang mendamaikan Saudi-Iran. Barat pula berpotensi berdepan dengan rakan-rakan serantau Arab Saudi dan Emiriyah yang semakin kurang bergantung pada kuasa Barat.

Leave a comment