Pada 2015, dua individu berpengaruh masing-masing mewakili Arab Saudi dan Israel bercakap dalam satu program oleh Majlis Hubungan Luar (CFR), badan pemikir berpengaruh di Amerika Syarikat.
Anwar Eshki mewakili kumpulan pemikir dari Saudi manakala Dore Gold mewakili Israel.
Kedua-dua mereka membincangkan satu visi masa depan yang jika dilihat semula pada hari ini, kelihatan seperti satu rancangan teori konspirasi yang menggemparkan.
Satu yang dibentangkan oleh Anwar ialah projek mega membina jambatan merentasi Bab al-Mandeb, menghubungkan Djibouti di Afrika dengan Yaman di Semenanjung Arab.
Jambatan ini digelar Jambatan Tanduk Afrika, dianggarkan sepanjang 29 km, menghubungkan bandar pintar dan futuristik al-Nur di Djibouti, dan al-Nur di Yaman.
Kedua-dua bandar ini dirancang untuk dibangunkan dan kemudian memperolehi tenaga hijau, dan menjadi pusat ekonomi dan pengangkutan yang penting menghubungkan benua Afrika dan Semenanjung Arab melalui jalan darat merentasi Laut Merah.
Pada masa itu, pembinaan jambatan itu dianggarkan bernilai AS$20 bilion, dibina syarikat berpengkalan di Dubai pimpinan Tarek bin Laden, saudara lelaki Osama bin Laden tetapi berbeza ibu.
Jambatan itu, meliputi laluan kenderaan darat dan jalan keretapi, dirancang dibina dari tanah besar Yaman ke Pulau Perim dan seterusnya ke Djibouti.
Projek ini sekiranya terlaksana, akan memudahkan pergerakan antara timur Afrika dengan Semenanjung Arab, meningkatkan aktiviti ekonomi dan haji setiap tahun.
Yaman berpotensi menjadi lokasi tumpuan, dan penghubung kepada laluan Tanduk Afrika ke seluruh dunia Arab terutama Semenanjung Arab dan negara-negara Teluk.
Ini bermakna, satu ruang aktiviti ekonomi yang luas menghubungkan Afrika dengan dunia Arab boleh terbentuk.
Visi ini walau bagaimanapun dicadangkan oleh satu pihak yang kepentingannya tidak semestinya selari dengan kepentingan penduduk Yaman dan Afrika di kawasan Tanduk Afrika yang dilibatkan.
Keseluruhan perbincangan antara Anwar dan Gold dalam program ini juga meliputi pembangunan kawasan Rub al-Khalili di Arab Saudi, dominasi Ethiopia di Tanduk Afrika, dan penubuhan negara Kurdi – Kurdistan – di utara Iraq yang berpotensi mempengaruhi kawasan di seberang sempadan Iraq, Syria, dan Iran.
Perbincangan ini, dan perancangan yang disusun itu, juga menunjukkan yang Yaman sebenarnya mempunyai potensi tersendiri, dan lokasinya menyebabkan ia mudah menjadi titik penting dalam pembangunan di wilayah sekitarnya.
Malangnya, visi meletakkan Yaman dalam jaringan penting ekonomi ini ialah visi pihak luar yang berkepentingan, yang hanya boleh dilaksanakan sekiranya Yaman dapat mereka kuasai.
Yaman nampaknya tidak dibenarkan bebas dan maju menurut jalannya sendiri. Potensi yang dilihat itu menjadi antara punca kuasa-kuasa luar, termasuk Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu tidak mahu melepaskan Yaman.
Yaman ialah satu-satunya negara di seluruh Semenanjung Arab dan Teluk Parsi – negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk, GCC – yang mundur dan tidak berupaya bergerak maju.
Di kawasan negara-negara kaya di rantau strategik ini, Yaman kekal miskin dan berkonflik, tanpa ada tempoh bertenang untuk membenarkannya merancang pembangunan dan masa depan.
Hakikatnya, Yaman berada di lokasi yang strategik, di laluan Laut Merah dan Lautan Hindi, berseberang Tanduk Afrika, dan amat sesuai menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan serantau bertaraf global.
Yaman juga mempunyai modal populasi, kekuatan pendidikan yang membolehkannya menjadi tumpuan pelajar antarabangsa, dan kepelbagaian geografi dan cuaca yang sangat mudah menarik aktiviti pelancongan.
Potensi ini semuanya tidak dapat direalisasi akibat krisis politik dan kini perang yang berpanjangan, yang akhirnya menjejaskan seluruh kesejahteraan termasuk infrastruktur asas.