Sejak 2015, Yaman menyambut Ramadan dalam keadaan perang, selepas pasukan diketuai Arab Saudi memulakan serangan ke atas negara selatan Semenanjung Arab itu.
Sebelum 2015, sejak 2009 apabila pertempuran antara Houthi dengan kerajaan tercetus, Ramadan juga menyaksikan tempoh perang yang dahsyat, terutama melibatkan serangan udara dari Saudi.
Penderitaan dihadapi rakyat Yaman amat getir, dalam keadaan kekurangan air yang sudah dianggap kebiasaan, ditambah dengan konflik bersenjata.
Tahun-tahun sejak 2015, keadaan makin sukar apabila banyak infrastruktur terjejas. Malah, kegiatan pertanian juga banyak tersekat.
Tahun 2015 itu juga bersekali dengan permulaan keadaan krisis iklim yang buruk, menjejaskan seluruh dunia, apatah lagi Yaman yang sudah sedia kekurangan air.
Bermula tahun lepas, 2020, keadaan bertambah sukar apabila pandemik Covid-19 mula memunculkan diri.
Walau bagaimanapun, warga Yaman yang tabah tetap mencari jalan menyambut bulan yang mulia ini.
Yaman sendiri dikenali sebagai salah sebuah negara Islam yang amat dirasai sambutan Ramadannya dengan amal ibadah.
Tahun ini, Ramadan disambut dalam keadaan perang yang masih tidak berhenti, dan di Marib, perang semakin sengit menjelang bulan mulia ini.
Gambar-gambar ini, oleh Jihad al-Nahari, disiarkan di akaun Twitter wartawan bebas Ali al-Sakani, memaparkan suasana sambutan Ramadan dan persediaan Aidilfitri di Marib, yang kini menjadi pusat konflik bersenjata antara Houthi dengan kerajaan diiktiraf.