Protes di Aden, Amaran Kepada Perjanjian Gencatan Senjata

IMG-20220625-WA0031

Sejak beberapa hari lalu, Aden menyaksikan protes warga tempatan terhadap isu pentadbiran dan ekonomi yang masih membelanggu bandar utama Yaman itu.

Kota yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan Yaman itu menyaksikan protes berbentuk sekatan jalan oleh peserta protes, yang membakar tayar dan meletakkan halangan di beberapa buah jalan laluan utama.

Perjanjian gencatan senjata kini sudah hampir sebulan diperbaharui, selepas gencatan bermula Ramadan dan berakhir Syawal lalu tamat dengan jayanya.

Harapan ramai sejak gencatan dicapai sebahagiannya sudah dipenuhi; tidak ada konflik bersenjata berlaku, kerajaan dijadual memulakan tugas dalam keadaan aman, dan bantuan antarabangsa dijangka mula sampai.

Pentadbiran yang kini dapat memberi tumpuan pada hal rakyat tanpa dijejaskan oleh krisis politik diharap dapat memulihkan keadaan.

Paling diharapkan rakyat dalam hal ini ialah kemudahan awam yang dipulihkan dan digerakkan segera, termasuk utiliti dan pendidikan, dan gaji pekerja kerajaan dibayar dengan betul.

Walau bagaimanapun, pentadbiran kerajaan masih tidak berjalan dengan lancar, apabila banyak kemudahan asas masih tidak dapat dipenuhi.

Pada masa sama, keadaan juga meresahkan ramai bila harga barangan keperluan termasuk minyak kenderaan meningkat.

Banyak tempat menyaksikan bekalan elektrik kerap terputus, menandakan isu utiliti masih tidak dapat diurus dengan baik.

Perkembangan ini menunjukkan yang kerajaan yang ada pada hari ini masih belum dapat menjalankan tugas dengan sempurna, dan masih banyak tugas-tugas asas masih belum dapat dilaksanakan.

Protes seperti ini biasanya tidak bebas daripada elemen politik, dalam bentuk isu dipergunakan untuk mencapai tujuan politik dan pihak tertentu mengambil kesempatan.

Kemungkinan isu sebenar tidak seburuk digambarkan tetap ada, dan protes didalangi pihak tertentu yang mahu mempersalahkan kerajaan, sama ada tempatan atau pusat.

Aden telah banyak kali menyaksikan protes didalangi kepentingan politik, terutamanya yang mewakili kelompok Selatan dan pihak kerajaan di utara dipersalahkan.

Hal ini mempunyai potensi untuk menjejaskan perjanjian gencatan senjata, lebih-lebih lagi jika momentumnya terus meningkat dan protes berjaya dipergunakan sepenuhnya.

Leave a comment