Persaingan Saudi-Emiriyah: Selatan Yaman jadi tumpuan (Bahagian 1)

WhatsApp Image 2023-07-23 at 11.36.15

Hubungan dua negara serantau utama dalam campur tangan di Yaman, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu menjadi dingin kebelakangan ini.

Ini ekoran kenyataan terbuka Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman yang mengecam Emiriyah sebagai menikam belakang Saudi di Yaman.

Dalam satu kenyataan kepada para wartawan di Arab Saudi, putera mahkota yang juga dikenali sebagai MBS itu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Mohammed bin Zayed (MBZ) di Yaman.

Kenyataan terbuka tanpa berselindung ini mencetuskan kejutan besar, kerana hubungan dua kuasa serantau ini yang dianggap kukuh dan berkongsi banyak kepentingan.

Hakikatnya, dua kuasa utama rantau Arab ini sudah lama menyaksikan perbezaan di Yaman, tidak lama selepas operasi ketenteraan di Yaman bermula pada awal 2015.

Emiriyah sejak awal sudah menggunakan kelebihan di sebelah selatan dengan mengukuhkan cengkaman di kawasan strategik dekat laluan keluar masuk Laut Merah itu.

Tidak lama selepas operasi ketenteraan bermula, Abu Dhabi berundur dari operasi utama dan memberi tumpuan di Aden dan wilayah selatan.

Emiriyah juga menjaga hubungan rapat dengan pihak berkuasa di Aden yang cenderung kepada pemisahan dan kemerdekaan sebuah Yaman Selatan.

Ini berlaku pada masa Riyadh masih kuat mendukung pemerintahan Presiden Abdurabuh Mansour Hadi pada masa itu, yang Saudi masih berhasrat diletakkan semula sebagai pemerintah Yaman.

Ini bermakna proksi kedua-dua Saudi dan Emiriyah tidak sehaluan, malah terlibat dalam pertempuran bersenjata sesama mereka.

Walaupun kenyataan marah MBS itu bukan sesuatu yang terlalu mengejutkan, perkembangan ini menunjukkan kemungkinan keadaan menjadi lebih buruk di Yaman.

Umumnya, selama ini Saudi menyedari agenda Emiriyah di sebelah selatan, yang sebahagiannya tidak sehaluan malah bertentangan dengan agenda Saudi yang lebih mahukan sebuah Yaman yang bersatu dengan pemerintah yang rapat dan patuh pada Riyadh.

Walau bagaimanapun, dua negara ini tetap bekerjasama rapat dan Saudi masih mampu mengekalkan dan menjaga kepentingannya di seluruh Yaman.

Saudi juga masih menjadi pihak yang paling kuat pengaruh di Marib, kawasan kaya yang menjadi tumpuan Houthi untuk dirampas.

Perbezaan agenda yang kelihatan lebih jelas ekoran kenyataan MBS ini bermakna Saudi akan menggiatkan lagi usaha penguasaan Yaman, terutama melalui Majlis Kepimpinan Presiden yang masih dapat dipengaruhi Riyadh.

Pada masa yang sama, Emiriyah akan menggiatkan usaha mengukuhkan kuasa dan pengaruh di sebelah selatan melalui Majlis Peralihan Selatan (STC) dan gabungan kepimpinan selatan yang baru dibentuk.

Usaha pengukuhan ini kini termasuk kawasan Hadramawt secara spesifik, yang dari sudut sejarahnya ialah sebahagian Yaman Selatan.

Satu perkembangan terbaru ialah peningkatan pertempuran di selatan, yang berkait langsung dengan usaha pengukuhan kumpulan disokong Emiriyah.

Pengukuhan STC yang kini lebih berkemampuan untuk memerdekakan selatan Yaman bermakna pertembungan dalaman yang makin sengit, sekaligus meletakkan Saudi dan Emiriyah dalam keadaan yang semakin bertentangan.

Leave a comment