Pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Yaman sudah mula menampakkan kesannya yang terhad.
Hasil paling jelas dapat dilihat ialah kesediaan kedua-dua Riyadh dan Tehran untuk menangani entiti atau kumpulan yang disokong, daripada media hingga kumpulan politik di pelbagai negara.
Saudi dikatakan bersedia menghentikan sokongan kepada media anti-Iran, dan kumpulan-kumpulan militan yang memusuhi Tehran.
Iran juga menunjukkan kesediaan memperlahankan sokongan kepada militia Houthi, yang kini sudah menjadi kerajaan di Sanaa.
Semua ini menunjukkan tanda-tanda positif, tetapi rundingan intensif masih berjalan, dan apa yang dipersetujui dan apa yang tidak masih boleh berubah.
Pada masa sama, kebolehlaksaan langkah-langkah dipersetujui juga tertakluk kepada banyak faktor dalaman dan luaran di Yaman.
Berikut empat aktor dan isu di Yaman, yang terkesan oleh perdamaian Saudi-Iran.
1. Houthi
Sejak awal, media dan pemerhati suka meletakkan kedudukan Houthi sebagai “proksi Iran” sebagai sesuatu yang pasti, dan menjadi tumpuan bila membincangkan Yaman.
Pemerhati menerima sepenuhnya label media yang menggelar Houthi sebagai “kumpulan disokong Iran,” sedangkan label sama – disokong Saudi atau pihak lain – tidak digunakan pada pihak lain.
Hakikatnya, Houthi boleh bertindak lebih bebas dan pragmatik, dan ia tidak tertakluk pada arahan Tehran, lebih-lebih lagi melibatkan kepentingannya sebagai kuasa baharu di Yaman.
Houthi tidak dijangka akan melepaskan kuasa yang baru diperolehi pada 2014-2015 dan mendedahkannya kepada ancaman lain.
2. Arab Saudi
Berbanding Iran, Saudi ialah negara jiran Yaman, dengan sempadan darat yang luas dikongsi bersama dan kesan politik yang boleh memberi kesan segera pada kedua-dua negara.
Riyadh tidak boleh terus melepaskan Yaman hanya kerana hubungan sudah dengan Iran.
Pelbagai kumpulan, termasuk kabilah-kabilah berpengaruh dan kumpulan politik seperti Islah, terlalu berharga untuk dilepaskan.
Sejak sebelum penyatuan, Yaman tidak pernah tidak bebas sepenuhnya daripada pengaruh dan kuasa Saudi.
Walaupun ada yang akan berubah, Saudi tetap mahu kekal sebagai pihak paling berpengaruh di Yaman.
3. Iran
Iran memperolehi satu habuan baharu apabila dapat membina dan mengukuhkan hubungan dengan Houthi di Yaman, sebuah negara jiran pesaingan utamanya di Asia Barat.
Boleh dikatakan apa yang diperolehi Iran ini ialah peluang sekali seumur hidup.
Logik geopolitik yang bermula pada 2009 ini melonjakkan lagi peranan dan tumpuan Iran di Yaman.
Pemulihan hubungan dengan Saudi dijangka melembutkan posisi Iran berhubung Iran, tetapi sama seperti Saudi, ia tidak akan berundur terus daripada mempunyai rakan strategik di lokasi strategik dunia Arab ini.
4. Emiriyah Arab Bersatu
Sejak 2015, Emiriyah sudah membina pengaruh dengan sistematik di Yaman, dan mengambil haluan berbeza dengan Saudi walaupun memasuki perang di Yaman di bawah kepimpinan Riyadh.
Dalam kalangan tiga negara; Saudi, Iran, dan Emiriyah, negara kecil di Teluk Parsi ini boleh dikatakan yang paling bertuah.
Abu Dhabi mencapai satu matlamat strategik dalam mengukuhkan kedudukan geopolitik dari Teluk Parsi hingga ke Laut Merah.
Emiriyah boleh dikatakan mendapat manfaat daripada perdamaian Saudi-Iran ini, tetapi masih mempunyai kepentingan lain yang tidak selari dengan Saudi dan Iran.