Tentera kerajaan diiktiraf dunia yang kini berpusat di Aden, mengadakan perarakan besar-besaran di Marib pada Jumaat lalu.
Perarakan ini menunjukkan kekuatan tentera kerajaan yang selama ini dilihat semakin lemah dan kehilangan banyak wilayah kepada Houthi.
Marib ialah lokasi rebutan antara Houthi dengan tentera kerajaan, menyaksikan siri pertempuran sengit selama berbulan sehingga gencatan senjata dicapai menjelang Ramadan lalu.
Kehadiran tentera kerajaan di Marib memberi gambaran kejayaan menahan Marib daripada terlepas ke tangan Houthi, yang sejak awal tahun ini meningkatkan tekanan untuk merampas wilayah yang makmur ini.
Boleh dikatakan tentera kerajaan memberi isyarat kemenangan sambil menyampaikan amaran terhadap Houthi yang masih mahu menguasai wilayah utara terakhir yang masih dikuasai kerajaan ini.
Perarakan tentera kerajaan ini diadakan pada masa gencatan senjata sudah disambung lagi selepas selesai gencatan dua bulan sepanjang Ramadan dan Syawal lalu.
Perkembangan ini memberi petanda positif pada kerajaan yang diiktiraf yang kini diperintah oleh sebuah majlis presiden, yang selama ini dilihat semakin lemah, lebih-lebih lagi dalam berdepan tentera Houthi yang kelihatan lebih kuat semangat dan persenjataan mereka.
Usaha Houthi untuk meneruskan serangan bersenjata untuk menghalau keluar tentera kerajaan dari Marib terhenti ekoran gencatan senjata.
Houthi yang mempunyai hubungan baik dengan Iran tidak bersetuju sepenuhnya dengan bentuk gencatan senjata dan pembahagian kuasa yang dipersetujui.
Pembahagian kuasa, melalui pemilihan tokoh pemimpin berpengaruh wilayah dan kabilah tertentu, berpotensi mengukuhkan kuasa kumpulan-kumpulan lain, yang berkaitan terus dengan geografi masing-masing.
Satu contoh yang jelas ialah pemilihan pemimpin Marib sebagai anggota majlis kepimpinan, yang sekaligus mengukuhkan kedudukan pemimpin tersebut dan juga memberikan Marib satu kedudukan istimewa dalam aturan baharu dalam politik kuasa di Yaman.
Pembahagian wilayah tertentu yang membentuk aturan politik baharu Yaman bermakna setiap kumpulan dan gabungannya serta wilayah masing-masing mempunyai bahagian lebih penting dalam menentukan hala tuju negara.
Maka ini secara langsung melemahkan agenda Houthi untuk memaksa kuasa mereka ke atas seluruh Yaman termasuk Marib.
Gencatan senjata yang sudah berlangsung dengan baik selama dua bulan dan kini dilanjutkan lagi juga bermakna momentum operasi ketenteraan Houthi tersekat.
Suasana aman sejak lebih dua bulan ini mula menormalisasikan keadaan aman, dan mendorong kepada sentimen jangkaan pemulihan pentadbiran dan kehidupan harian semua rakyat.
Walau bagaimanapun, peranan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu yang membawa kepada aturan baharu yang menatijahkan majlis kepimpinan baharu, dan kehadiran ramai pemimpin kerajaan di Saudi mencetuskan sentimen pengaruh asing yang negatif.
Pada masa sama, pertembungan antara dua kem yang menyokong normalisasi dengan negara haram Israel dan yang menentang menambahkan lagi ruang perbezaan yang mudah membawa kepada persaingan dan konflik.
Setakat ini, suasana aman dan mengharap keadaan menjadi lebih baik masih kuat, hasil gencatan berjaya selama dua bulan hingga dilanjutkan.