Satu kesan dan tinggalan utama perang dan konflik bersenjata di mana-mana ialah senjata dan letupan yang ditinggalkan.
Satu jenis yang spesifik ialah periuk api, dan diletakkan dalam kategori sama ialah bom-bom yang tidak meletup (unexploded ordnance).
Ia meliputi bom-bom yang digugurkan tetapi tidak meletup pada masa itu, dan terpendam sebagai satu ancaman untuk masa depan.
Dalam sejarah terkini, Vietnam antara negara berdekatan yang masih berdepan kesan periuk api dan bom tidak meletup ini.
Hari ini, masih terlalu ramai mangsa yang kehilangan anggota terutama kaki selain yang terus menemui ajal.
Perang yang medannya di Vietnam, tetapi negara bersebelahan, Laos dan Kemboja, turut menjadi mangsa.
Hal yang sama juga disaksikan di Eropah seperti di Balkan yang menjadi lokasi tumpuan perang selepas keruntuhan Komunis dan perpecahan republik-republik blok Timur terutama Yugoslavia.
Di seberang Yaman, Somalia juga berdepan masalah sama, yang masih memerlukan usaha berterusan termasuk bantuan antarabangsa untuk membersihkan periuk api.
Di Yaman, pada masa suasana semakin aman dan proses pemulihan politik dan ekonomi mula dibincang secara serius, jumlah yang cedera akibat periuk api kekal tinggi.
Perkembangan ini bermakna Yaman akan terus memerlukan sumber yang besar untuk menangani masalah ini, walaupun selepas keadaan aman nanti
Secara spesifiknya, satu isu utama dalam menghadapi kesan periuk api ini ialah anggota badan palsu, terutama kaki, yang dihasilkan mengikut piawaian sepatutnya.
Pada masa yang sama, ini juga memerlukan kemudahan, doktor dan pakar perubatan termasuk pakar psikologi dan kaunseling, yang menyumbang kepada pemulihan mangsa-mangsa terlibat.
Satu contoh usaha sukar menangani isu ini dapat disaksikan di Taiz, yang mempunyai dua pusat anggota palsu.
Pusat-pusat perubatan ini menerima kunjungan anggota tentera, orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang berharap dapat menemui pegawai perubatan dan menerima rawatan berjadual.
Menurut satu laporan media, seorang mangsa, Shaimaa Ali Ahmed, kanak-kanak berusia 12 tahun hadir bersama bapanya untuk sesi terapi fizikal.
Keadaan amat sukar, dan doktor yang merawat, Muna Hasan, sukar untuk mendapatkan ruang yang selesa untuk mereka memulakan sesi kerana jumlah pengunjung yang ramai di sini.
Pergerakannya berjalan agak kekok kerana dia tidak mendapat kaki palsu yang lebih sempurna, dengan sendi di lutut.
Shaimaa kehilangan kakinya pada 2017 masa berusia enam tahun, akibat bom tidak meletup yang ditemukan semasa bermain pada waktu malam dengan kanak-kanak lain.
Pengarah pusat anggota palsu itu, Dr Mansour al-Wazi’iy, menunjukkan acuan-acuan untuk membuat anggota palsu untuk pesakitnya.
Katanya, tahun lepas sahaja, mereka menerima lebih daripada 400 kes baharu.
Katanya, ada beribu kes lain sejak perang bermula, yang memerlukan penggantian anggota palsu termasuk kerana membesar dan memerlukan lagi khidmat terapi.
Semua mangsa seperti ini, terutama yang kanak-kanak, akan terus membesar dan memerlukan anggota palsu mereka diganti, dan memerlukan rawatan dan bantuan dari pusat-pusat perubatan anggota palsu di seluruh Yaman.
Ini menambahkan lagi keperluan-keperluan kritikal yang amat penting dipastikan sampai pada kalangan rakyat Yaman ini.
Pada masa ini, ada bantuan dihulurkan termasuk daripada Arab Saudi untuk keperluan prosthetik ini, namun keperluannya masih banyak yang boleh dipenuhi oleh pelbagai pihak lain dari luar sebagai sebahagian bantuan untuk rakyat Yaman.
Inilah satu lagi gambaran bantuan berterusan yang diperlukan oleh Yaman, walaupun selepas berakhirnya konflik bersenjata dan keadaan kembali aman.