Selepas tujuh tahun dilanda perang, Yaman kini berdepan jumlah mereka yang mengalami gangguan mental.
Kemurungan, tekanan pascatrauma dan sebagainya kini dialami oleh ribuan rakyat Yaman.
Menurut Adel Melhi, pengarah psikiatri di sebuah hospital di Taiz, mereka cuba sedaya-upaya untuk menyediakan rawatan kepada semua, tetapi menghadapi masalah kerana kekurangan kapasiti.
Keadaan sudah sedia sukar apabila lebih 20 juta warga Yaman bergantung pada bantuan.
Kemusnahan infrastruktur akibat perang menambah masalah dihadapi, dan bermula 2020, pandemik Covid-19 pula tiba.
Hospital psikiatri di Taiz itu mempunyai kapasiti untuk merawat 200 pesakit, tetapi perang yang berlanjutan menyebabkan peningkatan drastik mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.
Hospital itu juga mengalami masalah kekurangan bekalan ubat dan kakitangan yang mampu bekerja dalam bidang ini.
Akibat belanjawan dari kerajaan hanya dapat memenuhi suku daripada keseluruhan perbelanjaannya, hospital ini kini bergantung pada derma orang ramai.
Menurut angka kementerian kesihatan, Yaman yang berpenduduk 30 juta orang, hanya mempunyai 59 orang ahli psikiatri pada tahun 2020.
Jumlah ini bermakna nisbahnya hanya seorang perawat untuk setengah juta orang.
Angka ahli terapi, jururawat dan penjaga meningkatkan angka kepada 300 orang, tetapi jumlah ini meliputi tujuh buah hospital.
Pihak kerajaan tidak mengeluarkan data tentang kesihatan mental di Yaman sejak sekian lama.
Menurut Yayasan Pembangunan Keluarga yang berpejabat di Sanaa, dalam satu kajian pada 2017, sekitar satu daripada lima orang di Yaman berdepan masalah kesihatan mental.
Menurut laporan itu, populasi Yaman berdepan dengan “tekanan sepanjang masa, kehilangan dan kejutan melampau, akibat kekurangan makanan, ketiadaan pekerjaan, kolera, penahanan oleh pihak berkuasa, siksaan, serangan bersenjata, dan juga kelemahan serius perkhidmatan awam.”
Di Hajja, barat laut Sanaa, agensi bantuan Doktor Tanpa Sempadan mengendalikan sebuah klinik kesihatan mental.
Menurut Aura Ramirez Barrios yang mengetuai operasi klinik ini, kebanyakan yang mereka bantu ialah warga yang terganggu oleh situasi trauma akibat perang.
Katanya ramai yang kehilangan ahli keluarga, kediaman, dan menderita kerana terpaksa meninggalkan tempat kediaman dan ke tempat lain.
Sekitar tiga per empat pesakit mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk, termasuk psikosis, kemurungan, gangguan bipolar atau gangguan tekanan pascatrauma.
Aktivis kesihatan itu melihat klinik itu sebagai satu lokasi selamat untuk warga Yaman yang telah dan terus terpaksa melalui keganasan.
Keadaan amat mencabar kerana ramai yang hanya mendapatkan bantuan di klinik kesihatan mental selepas simptom tidak terkawal.
Ada yang sudah sampai ke peringkat mengalami cubaan membunuh diri atau halusinasi.
Isu kesihatan mental ialah antara isu yang kurang mendapat perhatian oleh media dan aktivis, sebahagiannya akibat ditenggelamkan oleh isu-isu lain yang lebih panas dan menjadi perhatian media antarabangsa.