Sejak lebih daripada sedekad, bulan Ramadan tidak pernah tidak mencatat berita-berita sedih bagi Yaman.
Bermula tahun 2009, pada permulaan konflik lebih luas antara Houthi dengan kerajaan Yaman, bulan Ramadan ialah bulan perang.
Hanya bermula tahun lalu, pada permulaan satu perjanjian gencatan senjata, bulan Ramadan mencatat berita gembira.
Pada masa itu, bermula gencatan senjata, menjadikan Yaman aman daripada pertempuran bersenjata yang berlangsung berterusan sejak 2015.
Tahun ini, sekali lagi Ramadan mencatat berita gembira, apabila beberapa tanda positif muncul melibatkan usaha ke arah penyelesaian konflik dan perdamaian kekal di Yaman.
Terbaru, wakil kerajaan Arab Saudi dan Oman dijadual melawat Sanaa minggu depan untuk bertemu Houthi dan merundingkan penyelesaian konflik.
Perkembangan ini ialah hasil akhir rundingan Houthi dengan Saudi sejak beberapa bulan lalu, melalui peranan Oman sebagai orang tengah.
Perkembangan ini memberi petanda sikap baharu Riyadh yang serius mahu menyumbang kepada keamanan dengan menarik diri dari Yaman.
Ia turut menunjukkan kejayaan diplomasi Oman, yang kini sudah mencatat kejayaan besar dalam rundingan Saudi dengan Iran.
Oman berperanan penting dalam perdamaian di Yaman, yang kejayaan dalam rundingan Saudi-Iran menjadi satu pembuka kepada rundingan lain termasuk melibatkan Yaman.
Menurut pihak yang terlibat dalam rundingan ini, satu keputusan akhir berhubung penjanjian damai ini mungkin diumumkan segera, sebelum Syawal tahun ini.
Antara perkara utama ditetapkan dalam perjanjian damai yang diusahakan ini termasuk penamatan semua konflik selama enam bulan, penubuhan pasukan rundingan, pertukaran tahanan, dan menyegerakan penubuhan koridor kemanusiaan.
Sejurus perdamaian dicapai, tempoh peralihan selama dua tahun bermula, dan penyelesaian akhir dirunding dalam tempoh itu menurut penyeliaan PBB.
Persetujuan dijangka dicapai dalam pertemuan antara Duta Arab Saudi ke Yaman, Muhammad al-Jaber dan delegasi Oman dengan pemerintah Houthi di Sanaa nanti.