Riyadh dan Tehran minggu ini mencapai persetujuan memulihkan kembali hubungan diplomatik, hasil rundingan akhir yang China menjadi orang tengahnya.
Persetujuan ini bukan dicapai secara tiba-tiba, tetapi telah melalui satu proses yang panjang dengan beberapa pihak berkepentingan terlibat.
Iraq antara yang telah berperanan besar, sebagai pihak berkepentingan ekoran kedudukan Iraq sebagai medan persaingan proksi antara Saudi dengan Iran.
Baghdad menjadi lokasi rundingan antara Riyadh dengan Tehran pada tahun lalu, rundingan yang menjadi sebahagian proses akhir yang membawa kepada persetujuan dicapai di Beijing.
Terbaru, sebelum rundingan berjaya mencapai persetujuan di Beijing, Oman berperanan sebagai orang tengah.
Rundingan yang sudah berjalan bertahun ini tiba di garis akhirnya di Beijing, yang menjadi mediator dan berjaya mendorong kedua-dua Saudi dan Iran bersetuju untuk meneruskan semula hubungan diplomatik.
Persetujuan ini ialah satu peristiwa bersejarah kerana perdamaian antara dua kuasa bersaing sengit di dunia Arab dan dunia Islam boleh menjadi penentu kepada banyak isu lain.
Rundingan ini sudah diusahakan sejak bertahun lalu, dan berhadapan pelbagai cabaran, selari dengan kedudukan kedua-dua pihak sebagai kuasa geopolitik di wilayah paling rancak di dunia.
Paling utama, pemulihan hubungan diplomatik ini berpotensi meredakan persaingan terutama yang melibatkan krisis teruk dan konflik bersenjata seperti di Iraq dan Yaman.
Ini kerana di hampir semua lokasi yang menyaksikan persaingan politik yang keras, Saudi dan Iran berada di pihak bertentangan, menyokong dua pihak yang paling utama, yang paling sengit bertembung.
Ini berlaku dari Palestin, ke Iraq, hingga ke Yaman, yang pada masa ini sedang aman daripada konflik bersenjata hasil perang lapan tahun yang dimulakan hasil kepimpinan Arab Saudi.
Bagi Yaman, potensi dan kesan segera dan jangka panjang pemulihan diplomatik Saudi-Iran ini tidak dapat diabaikan.
Yaman pada masa kini ialah lokasi persaingan paling sengit melibatkan kuasa dan pengaruh Saudi, lebih daripada Iran.
Bagi Iran, negara jiran Iraq, Palestin, dan Syria lebih penting dan terkait lebih terus dengan kepentingan serantaunya.
Bagi Saudi, Yaman lebih penting kerana kedudukannya sebagai negara jiran yang perlu dikawal atau dikuasai.
Maka Yaman menjadi satu kayu ukur kejayaan dasar luar Saudi, lebih-lebih lagi melibatkan kerajaan Yaman yang Riyadh tidak mahu terlepas daripada pengaruhnya.
Yaman kini sudah berada di bawah pengaruh Iran, dengan pihak disokong Saudi mempunyai kuasa yang terhad, dan satu bahagian yang besar dikuasai oleh sebuah lagi kuasa serantau, Emiriyah Arab Bersatu.
Pemulihan Saudi-Iran tidak akan dengan segera membawa penyelesaian muktamad di Yaman, walaupun sangat berpotensi memberi kesan.
Hal yang sama juga melibatkan lokasi-lokasi lain seperti Palestin dan Iraq.
Perdamaian dan penyelesaian tuntas kepada konflik sedang berlaku memerlukan masa dan komitmen pihak-pihak terlibat.
Saudi dan Iran bukan satu-satunya pihak yang mempunyai kepentingan, dan kawalan mereka terhadap pihak tempatan bukan mutlak.
Konflik yang sudah masuk 8 tahun semestinya sudah melibatkan banyak faktor, dan memberi kesan yang pelbagai kepada pihak terlibat, termasuk Houthi disokong Iran, kerajaan lama disokong Saudi, dan pihak berkuasa Selatan yang telah kukuh dan stabil dengan sokongan Emiriyah.
Hal-hal ini boleh saja berubah, bergantung pada perkiraan kuasa-kuasa tempatan, mengambil kira pendirian baharu kuasa serantau yang menyokong mereka.
Walau bagaimanapun, pemulihan diplomatik Saudi-Iran kini membuka jalan ke arah penyelesaian, atau sekurang-kurangnya keazaman untuk mencapai penyelesaian konflik di Yaman.