Pemisah Selatan dalang protes di Aden?

Ribuan warga Yaman menyerbu istana presiden di Aden, semalam, menuntut kerajaan yang kini kembali ke bandar itu agar segera melaksanakan tugas-tugas mereka.

Warga Yaman kecewa dengan kerajaan yang telah kembali mengambil tempat di Aden tetapi didakwa tidak menjalankan amanah termasuk tidak membayar gaji dan tuntutan tertunggak.

Masalah kehidupan harian yang masih tidak pulih, nilai mata wang yang terus merosot, dan kerajaan yang didakwa tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Pada masa sama, protes juga tercetus di bandar Sayoun di wilayah Hadramawt, yang juga menyaksikan kompleks kerajaan diserbu.

Protes turut melahirkan kemarahan terhadap tindakan keras pihak keselamatan terhadap demonstrasi di Shabwa dan Hadramawt sebelum itu.

Kedua-dua protes telah reda tetapi menimbulkan persoalan tentang siapa di belakangnya.

Bendera Yaman Selatan kelihatan di protes, dan pihak keselamatan di bawah pimpinan Majlis Peralihan Selatan (STC) didakwa tidak menghalang mereka yang terlibat dalam protes.

Demonstrasi ini ialah yang terbesar disaksikan sejak sekurang-kurangnya setahun lalu. Pihak pemisah Selatan menerima sokongan kuat di selatan dan mampu menggerakkan massa.

Hakikat bahawa ia berlaku di wilayah selatan dan ditujukan kepada kerajaan yang diiktiraf dilihat sebagai satu usaha menekan kerajaan pimpinan Abdrabouh Mansor Hadi.

Pihak Selatan secara konsisten mahukan pembahagian kuasa yang lebih menyebelahi mereka, yang mempunyai pengaruh kuat di wilayah selatan, jauh mengatasi kerajaan diiktiraf yang kini menjadikan Aden sebagai ibu negara.

Beliau dan beberapa pemimpin Yaman masih berada di Riyadh, ibu negara Arab Saudi, negara yang menyokong kerajaan Yaman.

Pihak Selatan diwakili STC disokong Emiriyah Arab Bersatu turut menyertai kerajaan tetapi jelas menunjukkan agenda politik yang berbeza.

Leave a comment