Yaman Selatan, selama wujud hingga bergabung dengan Yaman Utara membentuk sebuah negara bersatu, mencatat sejarah sebagai satu-satunya negara berideologi Marxist di dunia Arab.
Pada masa British meninggalkan Yaman pada 1967, dunia Arab merupakan salah satu medan utama Perang Dingin antara Barat dengan Rusia.
Rusia memberikan sokongan pada gerakan kiri yang membentuk kerajaan di Yaman Selatan, gerakan yang akhirnya wujud sebagai Parti Sosialis Yaman.
Negara sosialis di tengah-tengah dunia Arab terbukti sukar diteruskan.
Malah, Mesir yang pernah mempunyai kecenderungan ke arah Rusia sendiri ditekan hingga beralih sepenuhnya kiblat ke Barat.
Yaman Selatan akhirnya bergabung dengan Yaman Utara, secara terpaksa, kerana sudah tiada kekuatan sokongan ekonomi dan politik.
Dari pandangan pihak Selatan, mereka sebenarnya “ditelan” oleh Yaman Utara, yang lebih kuat dan menguasai pentadbiran seluruh Yaman.
Di bawah pimpinan Ali Abdullah Saleh dan elit kepimpinan tradisional termasuk kabilah berpengaruh, Yaman kekal sebagai sebuah republik bersatu.
Walaupun pernah menghadapi penolakan dan konflik pemisahan pihak pemisah Selatan, kekuatan kerajaan Sanaa memastikan Yaman terus bersatu.
Memasuki dekad 2000, pemisah Selatan semakin kuat dan mendapat sokongan, dan gerakan Selatan mula kelihatan semakin kukuh.
Ini berlaku pada masa sama gerakan Houthi juga semakin berani menentang kerajaan pusat secara bersenjata.
Suasana serantau pada masa ini mendorong Rusia menggerakkan perancangannya yang termasuk menguatkan hubungan dengan negara-negara Arab.
Rancangan Rusia ini mengambil masa yang panjang untuk dijayakan, pada masa pengaruh Amerika Syarikat terus kukuh, selepas lama tanpa saingan Rusia selepas keruntuhan Soviet.
AS dan Rusia sudah memasuki satu fasa persaingan sengit pada masa itu, yang digelar sesetengah pemerhati sebagai “Perang Dingin baharu.”
Walau bagaimanapun, persaingan ini ditenggelamkan oleh perhatian pada Iran, yang disebut-sebut sedang memperluaskan pengaruh serantau.
Tidak lama selepas perang diketuai Arab Saudi bermula di Yaman pada 2015, Rusia sudah mengambil peluang dan berjaya mengukuhkan kedudukan.
Ini dilakukan melalui rakan strategiknya, Emiriyah Arab Bersatu, yang peranan dan perluasan pengaruhnya juga ditenggelamkan oleh perhatian pada Iran.
Walaupun tidak pagi beridentiti sosialis, pemisah Selatan kekal berhubungan baik dengan Rusia, kerana kepentingan geopolitik serantau masing-masing tidak berubah.
Hubungan tiga pihak Majlis Peralihan Selatan (STC)-Abu Dhabi-Moscow bukan sesuatu yang sementara, tetapi hubungan strategik yang mendalam, dan telah dibuktikan oleh sejarah.
Sejak tercetus konflik di Yaman pada hujung 2014, melalui perang tujuh tahun bermula 2015, topik lebih sensasi seperti pengaruh Iran dan Syiah lebih mudah mendapat perhatian.
Tetapi, yang kekal konsisten dan menampakkan hasil ialah hubungan pihak Selatan dengan Emiriyah dan Rusia.