Sheikh Sadeq bin Abdullah bin Hussein, pemimpin gabungan kabilah Hashid, meninggal dunia pada usia 66 tahun akibat kanser pada 6 Januari lalu.
Kematian beliau menandakan satu perubahan besar pada kabilah Hashid yang berpengaruh dalam politik Yaman.
Beliau dilahirkan pada 6 Oktober, 1956 di wilayah Amran, di bandar utama kabilah ini sebelum berpindah ke Sanaa ekoran pemisahan Yaman Utara dan Selatan apabila Yaman Selatan mengisytiharkan kemerdekaan dari Inggeris.
Sadeq mula aktif dalam politik secara formal apabila menyertai Majlis Perwakilan Yaman pada 1993.
Kabilah ini ialah kumpulan politik paling berpengaruh di Yaman sepanjang pemerintahan Ali Abdullah Saleh, tetapi memainkan peranan penting yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan pemimpin kuku besi Yaman itu pada 2011.
Bapa kepada Sadeq, Sheikh Abdullah bin Hussein bin Nasser al-Ahmar ialah pengikut setia presiden Yaman itu sepanjang hayatnya.
Hashid ialah gabungan kabilah kedua terbesar selepas Bakil tetapi lebih aktif dan berpengaruh dalam politik Yaman.
Keluarga al-Ahmar diwakili tokoh-tokoh penting dalam kerajaan Yaman, antaranya Ali Mohsen al-Ahmar, pemimpin tentera yang juga naib presiden Yaman pada 2012 hingga 2022.
Kabilah ini ialah antara pesaing utama Houthi, kumpulan kecil yang berpengkalan di utara dan terpinggir sepanjang sejarah Yaman.
Sepanjang sejarah Yaman sejak merdeka, Hashid berada di barisan depan dalam memerangi Houthi, sebahagian besarnya ekoran kedudukan Ali Mohsen dalam tentera.
Pada masa sama, kabilah asal presiden Yaman sendiri berada dalam gabungan kabilah Hashid.
Sadeq kekal tinggal di Sanaa sejak perang meletus hingga menghembuskan nafas terakhir, dan dikatakan berada dalam tahanan rumah di ibu negara Yaman yang sudah ditawan Houthi itu.
Disebabkan kedudukan keluarga al-Ahmar, Hashid juga sebahagian penting gerakan politik Islah, yang berdepan keadaan turun naik sejak kejayaan menjatuhkan Ali Abdullah pada 2011.
Pada 2011, semasa protes memuncak, Sadeq meletak jawatan daripada Kongres Rakyat Yaman dan kemudian menunjukkan sikap keras terhadap Ali Abdullah.
Kepimpinan Sheikh Sadeq akan digantikan oleh Sheikh Hamyar bin Abdullah bin Hussein al-Ahmar, yang juga bekas timbalan speaker Parlimen Yaman.