Palestin dan potensi “proksi” Iran

WhatsApp Image 2023-10-19 at 23.28.32_11797c8b

Keganasan Zionis terhadap Palestin terus berlangsung sekarang dengan sokongan kuat sekutu tradisi negara haram Yahudi itu, Amerika Syarikat dan Eropah.

Pihak Zionis sedang meningkatkan serangan dan pada masa sama menyusun untuk serangan dan tindakan kepungan lain yang berterusan.

AS sedang menggerakkan kumpulan kapal perangnya ke Laut Mediterranean, di luar pantai hampir dengan perairan Gaza dan wilayah Palestin diduduki.

Di pihak Palestin, pasukan bersenjata yang kini di barisan hadapan ialah Hamas dan Jihad Islami.

Kumpulan-kumpulan ini menerima sokongan dan bantuan senjata antaranya dari Iran, sebagai satu tindakan penting Iran dalam berdepan dengan Zionis Israel.

Sokongan ini berdepan cabaran semasa “Arab spring,” apabila Hamas pada masa itu menjarakkan diri dengan Iran dan mendekati Qatar.

Walau bagaimanapun, pada masa kini, banyak pihak terus meletakkan Hamas sebagai proksi Iran, tanpa mengira tahap hubungan dan bantuan dari negara itu.

Dalam hal perjuangan Palestin ini, Hamas masih mempunyai kepentingan sama dengan Iran, dan bantuan kepada Hamas untuk melawan Zionis masih penting dalam dasar luar Iran.

Pada masa sama, Jihad Islami di Palestin juga memainkan peranan sama di Gaza, dan lebih mempunyai hubungan baik dengan Iran.

Dalam politik serantau Iran, Jihad Islami kekal sebagai sebuah kumpulan yang boleh disifatkan sebagai sekutu atau “proksi” Iran di Gaza.

Dalam senario perang yang lebih luas, melibatkan Iran dengan lebih jelas dan terbuka, serta penglibatan tentera AS sendiri secara langsung di Gaza, semua kumpulan disokong Iran ini akan menunjukkan peranannya.

Berikut senario peranan kumpulan-kumpulan sekutu Iran dalam menghadapi konflik yang lebih luas.

1. Gaza, Palestin

Iran setakat ini ialah penyokong paling jelas perjuangan Palestin menentang Zionis, termasuk melalui bekalan senjata dan nasihat ketenteraan. Dalam episod terbaru pertempuran dengan Zionis Israel ini, boleh dijangka Iran akan terus meningkatkan sokongan dan bantuan kepada kedua-dua Hamas dan Jihad Islami.

Suasana semasa yang menyaksikan sentimen menyebelahi Palestin dan negara-negara Arab tidak mampu bertindak bertentangan dengan sentimen ramai memudahkan bantuan Iran ini.

2. Lubnan

Serangan Zionis sudah dimulakan ke atas kawasan selatan Lubnan, kubu kuat Hizbullah, kumpulan yang boleh disifatkan sebagai proksi terkuat Iran di seluruh dunia Arab. Hizbullah pernah berperang secara berdepan selama sebulan dengan tentera Israel pada tahun 2006.

Lokasi Lubnan juga lebih mudah bagi Iran menyalurkan bantuan seperti persenjataan kerana tidak disekat seperti Gaza, dan bersempadan pula dengan Syria, negara sekutu Iran.

3. Yaman

Houthi atau Ansarullah di Yaman sudah menyatakan sokongan kuat kepada Palestin, memberi ancaman untuk melancarkan serangan peluru berpandu sekiranya AS masuk campur dan perang merebak. Houthi dan pihak lain di Yaman juga dilaporkan sedia menghantar tentera sukarela ke Gaza.

Houthi kini dalam keadaan paling memerlukan sokongan Iran, dan pada masa yang sama, mahu meningkatkan profilnya di dunia Islam. Palestin memberikan peluang ini kepada Houthi. Peranan dalam isu Palestin boleh meluaskan popularitinya supaya tidak hanya dilihat sebagai kumpulan Syiah.

4. Syria

Syria berada dalam keadaan agak sukar kesan daripada konflik berpanjangan sejak 2011. Banyak kawasan Syria musnah akibat perang, dan beberapa kawasan bersempadan dengan Turki dan negara haram Israel dikuasai kumpulan Kurdi dan Zionis.

Syria masih sekutu penting bagi Iran, dan kekal berperanan dalam isu Palestin. Kedudukan geografinya menyediakan lokasi selamat pengangkutan senjata dan bekalan lain, terutama kepada Hizbullah.

5. Sekutu lain

Iran juga mempunyai rakan dan proksi di Iraq, yang boleh berperanan lebih-lebih lagi jika perang yang lebih luas menuntut peranan mereka, termasuk membekalkan tentera dan sumber-sumber lain. Pada masa sama, peranan mereka dalam politik Iraq juga boleh diperguna untuk tujuan tertentu, seperti memberi tekanan kepada kerajaan Iraq.

Di luar kumpulan-kumpulan ini dan negara seperti Syria, Iran juga mengekalkan hubungan baik dengan Rusia dan China, yang kedua-duanya sudah menunjukkan sikap bertentangan dengan Israel, AS dan Eropah.

Leave a comment