Oman, negara jiran Yaman di sebelah timur tidak banyak terlibat dalam politik dalaman Yaman berbanding jiran lain seperti Arab Saudi, dan negara dalam kejiranan Emiriyah Arab Bersatu.
Tidak banyak ini ialah secara perbandingan, kerana Arab Saudi dan Emiriyah jauh lebih lama dan mendalam penglibatannya, dan menjadi kuasa yang telah lama terlibat dengan punca-punca kuasa di Yaman.
Oman bukan tidak terlibat langsung. Ia menjadi salah satu lokasi pengkalan Houthi, menjadi laluan dari luar untuk memasuki Yaman, dan kekal sebagai kuasa luar yang mempunyai pengaruh di wilayah Mahra.
Di rantau Arab, Oman mempunyai kedudukan istimewa dari segi diplomasi sebagai orang tengah. Ia pernah berperanan dalam rundingan Iran dengan kuasa-kuasa dunia yang berjaya pada 2015.
Sejak zaman Sultan Qaboos, Oman berpendirian lebih berkecuali, dan menjadi tempat selamat bagi negara serantau termasuk Iran untuk dijadikan pusat rundingan.
Malah, Oman bebas daripada politik serantau apabila ia menjalin hubungan juga dengan Israel. Oman menjadi antara lokasi awal dilawati pemimpin Zionis Benjamin Netanyahu semasa memulakan kempen normalisasi pada 2018.
Usaha damai terbaru di Yaman kini melibatkan Oman, yang diharapkan untuk menggunakan kelebihan kebebasannya daripada kepentingan-kepentingan seperti Saudi dan Emiriyah, dan kelebihan Muscat sebagai tuan rumah kepada pemimpin Houthi di luar Yaman.
Kelebihan ini walau bagaimanapun bukan penentu utama, kerana Houthi tidak tertakluk kepada mana-mana kuasa. Malah Iran sendiri tidak berupaya menentukan setiap agenda Houthi.
Satu delegasi Oman tiba di Sanaa pada 5 Jun lalu, berbincang untuk memulakan rundingan antara Houthi dengan kerajaan di Aden. Delegasi turut bertemu Abdulmalek al-Houthi.
Penglibatan dan lawatan pertama kali Oman ini memberi harapan kepada ramai pihak, tetapi tidak kurang yang skeptikal dengan sikap pihak yang terlibat termasuk Houthi yang masih berusaha menawan Marib.
Houthi mempunyai kepentingan-kepentingan tersendiri di Yaman dan tidak semestinya mendapat arahan daripada Tehran, walaupun berkongsi beberapa agenda.
Maka kelebihan Oman, yang dilihat sebagai jiran yang baik berbanding Saudi dan Emiriyah, tidak boleh diharapkan sebagai faktor penentu yang boleh menjamin pilihan dan tindakan Houthi.
Usaha mendamaikan pihak-pihak bertelagah di Yaman sudah berlangsung paling agresif sejak 2018, dengan wakil khas PBB yang dikhususkan untuk tugas ini, tetapi sudah tiga wakil PBB terlibat di Yaman tanpa sebarang hasil.
Dua perjanjian dicapai, satu di Arab Saudi dan satu di Sweden, tetapi pelaksanaannya terhalang oleh pelbagai faktor terutama politik dalaman, dalam bentuk persaingan yang sukar didamaikan.
Ini mendorong rasa optimis pada peranan Oman, tetapi juga menunjukkan sukarnya pihak terlibat; Houthi, kerajaan diiktiraf, dan pihak pemisah selatan yang semakin berpengaruh, untuk mencapai persetujuan dan melaksanakannya.