Memasuki “Lubang Neraka” di Yaman

Minggu lalu, media sosial di dunia Arab, khususnya Yaman dan Oman, panas dengan kisah sekumpulan penjelajah gua memasuki Telaga Barhut di Yaman.

Telaga yang dikenali juga dengan gelaran “lubang neraka” ini terletak di wilayah al-Mahra, dekat sempadan Yaman dengan Oman.

Kumpulan penjelajah ini mewakili kumpulan pengkaji geologi Oman, memasuki bukaan telaga ini dengan menggunakan peralatan khas eskplorasi gua.

Tempat ini sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan media, dengan laporan artikel dari pelbagai sumber yang sebahagian besarnya menceritakan kisah-kisah menakutkan yang dikaitkan dengan struktur digelar telaga ini.

Dalam laporan penjelajahan ini, disebut ini sebagai pertama kali telaga ini dimasuki dan dijelajahi.

Telaga ini dapat dilihat dari permukaannya, tetapi keadaan fizikalnya menghalang daripada mereka yang mendekatinya untuk meninjau ke dalam tanpa peralatan khas.

Mulut telaga ini selebar 30 meter, dan kedalamannya dipercayai 100 hingga 200 meter.

Penjelajah dari Oman ini mengesahkan kedalamannya sekitar 112 meter.

Mereka menemukan aliran air di dalamnya, serta bangkai haiwan.

Di media sosial Arab minggu lalu, tercetus kekecohan apabila pendedahan ini dibuat.

Ada yang mempertikaikan sama ada apa yang ditunjukkan itu benar-benar Telaga Barhout, yang ada dinyatakan dalam hadis.

Telaga Barhout ini diberi gambaran menakutkan berbunyi amaran, dan dikaitkan dengan air yang hitam.

Gambaran yang diberikan oleh penjelajah itu didakwa tidak menepati gambaran Telaga Barhout yang dikenali melalui tradisi Islam.

Penjelajahan kumpulan dari Oman itu walau bagaimanapun lambat dilaporkan oleh media Barat, dan kisah awalnya lebih tertumpu dan berlegar di Twitter dalam kalangan pengguna berbahasa Arab.

Leave a comment