Majlis Kepimpinan Yaman: Apa Isu Sebenarnya?

WhatsApp Image 2022-04-08 at 06.32.56

Presiden Yaman, Abdrabouh Mansour Hadi telah melepaskan kuasa kepada sebuah majlis kepimpinan, dalam satu tindakan besar hasil rundingan di Arab Saudi.

Dalam kenyataannya, Hadi berkata kuasanya diserahkan kepada majlis kepimpinan presiden.

Pengunduran Hadi ini dipercayai berlaku hasil kehendak Riyadh, yang semakin sukar menguruskan konflik di negara selatannya itu tanpa proksi yang kuat dan popular.

Hadi sekaligus turut menamatkan khidmat timbalannya yang berpengaruh, Ali Mohsen al-Ahmar, panglima perang penting yang diletak sebagai timbalan presiden untuk pengaruhnya.

Hadi dan Ali Mohsen kedua-duanya dimusuhi kuat oleh Houthi kasong-masing atas peranan politik dipengaruhi Saudi dan sejarah memerangi Houthi sejak era Ali Abdullah Saleh.

Walau bagaimanapun, sejauh mana majlis yang mengambil tugas presiden ini mampu berperanan secara berkesan masih belum jelas.

Tokoh-tokoh yang dipilih menyertai majlis ini mempunyai kedudukan kepimpinan dan pengaruh masing-masing, dan amat berkemungkinan bertembung dalam banyak hal.

Hadi dalam kenyataannya juga menegaskan majlis ini diberi tugas berunding dengan Houthi untuk mencapai perdamaian kekal.

Dari sudut ini, langkah terbaru hasil rundingan di Arab Saudi ini menampakkan kesungguhan dua kuasa terlibat, Riyadh dan Abu Dhabi untuk melihat perubahan di Yaman.

Saudi menawarkan bantuan untuk pembangunan ekonomi sebanyak AS$2 bilion manakala Emiriyah Arab Bersatu memberi AS$1 bilion.

Pengerusi majlis ini ialah Rashad al-Alimi, tokoh direstui Saudi. Emiriyah pula mempunyai rakan rapat dalam majlis ini melalui Aydarous al-Zubaidi, yang juga ketua Majlis Peralihan Selatan.

Sheikh Sultan al-Aradah, gabenor Marib pula ialah tokoh dengan pengaruh tersendiri di kawasan maju dan kaya minyak yang dilanda konflik perebutan kuasa terlibat.

Seorang lagi tokoh berpengaruh ialah anak saudara kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, Rariq Saleh. Beliau termasuk antara keluarga bekas presiden yang kekal setia dengan Emiriyah.

Pemilihan anggota majlis ini turut menampakkan kecenderungan anti-Houthi, selain menguhkuhkan lagi pengaruh Riyadh dan Abu Dhabi.

Leave a comment