Gencatan senjata di Yaman masih berjalan, dan berjaya melepasi tempoh sebulan Ramadan yang biasa dipenuhi episod berdarah.
Gencatan diusahakan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, dan PBB ini sebenarnya telah mencatat sejarah yang penting, walau apa pun kelemahannya.
Walau bagaimanapun, media antarabangsa kelihatan tidak mengangkat kejayaan ini, mungkin kerana sudah terlalu biasa dengan berita Yaman yang tidak dapat dipisahkan daripada pertempuran, keganasan, dan kebuluran.
Pada masa sama, kerajaan dan media Barat sedang sibuk menumpu pada Ukraine, walaupun keadaan Yaman lebih buruk dan lebih lama berdepan peperangan.
Sejak konflik kerajaan dengan Houthi bermula dengan lebih panas pada 2009, boleh dikatakan setiap Ramadan pasti ada pertempuran atau serangan udara pihak tentera, termasuk melibatkan kuasa asing.
Tahun ini, dikira sejak perang bermula 2015, tempoh Ramadan pertama kali bebas daripada pertempuran besar dan serangan tentera ke atas lokasi pihak lawan.
Walaupun keadaan sudah agak lebih baik, masih banyak yang diharapkan dapat dilakukan segera oleh kerajaan, termasuk Houthi yang mentadbir kawasan pantai Barat.
Selepas tujuh tahun penuh peperangan, yang melibatkan kuasa tentera yang kuat dan dibantu pula oleh senjata dari kuasa-kuasa besar, keadaan tidak akan pulih sendiri dengan gencatan senjata.
Jentera kerajaan, yang mentadbir hal ehwal rakyat, dari kesihatan hingga pendidikan dan keperluan asas hidup, memerlukan masa dan tenaga yang banyak untuk pulih.
Terlalu banyak hal yang terjejas sejak perang bermula pada 2015, termasuk pendidikan dan aktiviti ekonomi rakyat Yaman.
Sepanjang perang bermula pada 2015 itu hingga ke hari ini pula, krisis iklim turut menampakkan kesannya.
Kalau dirujuk berita melibatkan alam sekitar sejak itu, boleh dibaca laporan banjir kilat, cuaca tidak menentu menjejaskan tanaman, serangan belalang juta, krisis bekalan air dan banyak lagi.
Ini semua memerlukan program khusus yang menuntut belanja dan tenaga yang bukan sedikit.
Boleh dibandingkan hal ini dengan Malaysia, sebuah negara yang aman damai tidak dilanda peperangan.
Sejak 2020, kesan pandemik menjejaskan pendidikan anak-anak dan perniagaan, pada masa sama menjejaskan banyak isi rumah akibat kehilangan pekerjaan atau pendapatan terjejas.
Kemudian, sejak setahun ini terutamanya, banjir yang buruk berlaku di banyak tempat, termasuk yang mengejutkan dan paling menarik perhatian di Shah Alam, Selangor.
Kesan-kesan negatif akibat pendemik ini masih dirasakan ramai orang, yang melihat pembelajaran anak-anak terjejas hingga banyak yang ketinggalan.
Mereka yang kehilangan pendapatan masih merasai kesannya malah ada yang belum dapat bebas daripada kesan buruknya.
Bagi yang terlibat banjir, ramai yang masih belum selesai berdepan kesannya, seperti baik pulih kenderaan yang tenggelam, kesan ekonomi kehilangan kenderaan, dan kesan daripada kehilangan keperluan rumah.
Mereka ini ramai yang terpaksa meminjam, membeli barangan elektrik secara ansuran dan sebagainya, untuk menggantikan kehilangan akibat banjir.
Semua ini akan dihadapi untuk satu tempoh yang agak panjang. Contoh mudah, mereka yang kehilangan kenderaan, sekiranya mampu membeli sebuah kenderaan sebagai ganti melalui pinjaman bank, baru sahaja memulakan bayaran balik kenderaan itu untuk lima, tujuh, atau sembilan tahun lagi.
Maka apa yang perlu dihadapi rakyat Yaman jauh lebih dahsyat. Pembinaan semula kehidupan mereka melibatkan seluruh negara, ditambah perpecahan yang semakin kuat akibat persaingan kuasa kesan politik peperangan.