Korban Houthi Meningkat, Tapi Makin Hampiri Marib

Tempoh dua minggu kebelakangan ini menyaksikan pertempuran semakin sengit antara Houthi yang mahu menakluk Marib dengan tentera kerajaan yang terbuang.

Sekitar dua minggu lalu, dilaporkan lebih 100 nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban akibat pertempuran, yang mula sengit sejak Februari.

Baru-baru ini, pihak Arab Saudi melaporkan lebih 130 anggota militia Houthi terbunuh dalam serangan-serangan di selatan Marib, satu jumlah yang besar dan boleh menjejaskan kekuatan dan momentum Houthi untuk mara.

Walau bagaimanapun, Houthi pada masa sama telah menawan sebuah daerah yang terletak kira-kira 25km ke selatan bandar Marib.

Kedua-dua Houthi dan kerajaan yang telah berpindah ke Aden telah kehilangan beratus anggota tentera sejak sebulan lalu.

Tentera kerajaan Presiden Abdrabouh Mansor Hadi telah melancarkan berpuluh serangan terbaru di daerah Abdiya dalam wilayah Marib.

Sebelum itu, beberapa serangan telah membunuh lebih daripada 150 anggota militia Houthi.

Kenyataan media Saudi mendakwa serangan dilakukan terhadap sembilan kenderaan tentera di Abdiya, dan Houthi kehilangan lebih daripada 134 orang ahli.

Houthi walau bagaimanapun tidak menunjukkan tanda kekalahan, dan dalam video kenyataan jurucakapnya, Yahaya Saree, mereka mendakwa kini sudah mengepung Marib dan akan menawan seluruh wilayah itu dalam masa terdekat.

Menurut pihak tentera diketuai Riyadh, Houthi sudah menawan daerah al-Jawbah di selatan Marib.

Pasukan tentera kerajaan berundur dari sana ekoran tentangan sengit Houthi.

Perkembangan di Marib ini menunjukkan Houthi terus bertekad untuk menakluk Marib, wilayah strategik yang mempunyai hasil minyak untuk memastikan Houthi mempunyai sumber yang kukuh untuk terus menguasai Yaman, sekurang-kurangnya sebahagian besar wilayahnya.

Bahagian selatan Yaman kini semakin kukuh di bawah pengaruh kumpulan yang mahu bebas daripada pengaruh Sanaa.

Kerajaan yang dijatuhkan dan menjadikan Aden sebagai pusat pentadbiran sementara pula sebahagian besarnya masih berada di Arab Saudi.

Leave a comment