Konflik Yaman Paksa Pihak Bermusuh Runding Perdamaian

WhatsApp Image 2023-01-28 at 4.42.53 PM

Konflik di Yaman sudah berlarutan selama lapan tahun, tanpa ada mana-mana pihak dapat mengaku menang atau mencapai objektif utama.

Selain kuasa besar yang jauh dan boleh dikatakan dapat mengekalkan alasan untuk campur tangan sama ada secara sendiri atau melalui proksi dan rakan, kuasa-kuasa berjiran dan serantau masing-masing terus bergelut.

Selain Yaman, sekurang-kurangnya ada lagi dua medan yang menyaksikan persaingan sengit antara kuasa serantau dan kuasa besar luar.

Di Syria, kuasa-kuasa Amerika Syarikat, Rusia, Turki, Iran, negara haram Israel, dan banyak lagi bersaing sengit untuk memastikan kepentingan mereka terjaga dan dipelihara.

Syria kini sudah lebih aman berbanding lebih 10 tahun lalu, tetapi sempadan sudah berpecah-pecah, dan AS, Zionis, kumpulan-kumpulan Kurdi pro-Barat sudah mendapat bahagaian mereka masing-masing terutama di sepanjang sempadan Syria dengan Israel dan Turki.

Selepas lama berlangsung, pihak-pihak terlibat dalam konflik Syria sudah mula cenderung untuk berdamai.

Ini sudah pun bermula sejak sekurang-kurangnya 2013, dan kemudian beberapa kali lagi sehingga kini.

Pada masa sekarang, Syria sedang berunding dengan Turki, negara yang menjadi pemain utama pada awal konflik untuk menjatuhkan kerajaan Syria.

Inilah realiti konflik yang menemukan pelbagai pihak yang bersaing dan bersekutu.

Walaupun garis pemisah ideologi dan prinsip ditegaskan, tetapi perkiraan kepentingan yang boleh mengatasi segala prinsip tidak pernah tenggelam.

Ini jugalah yang berlaku di Yaman sejak perang pada 2015, yang pada mulanya dipromosikan sebagai satu pertembungan dengan Iran dan Syiah oleh gabungan negara Arab diketuai Arab Saudi.

Negara-negara terlibat, termasuk Arab Saudi, Iran, dan Emiriyah Arab Bersatu, kini mempunyai senarai panjang isu yang perlu ditangani di seluruh rantau Arab, termasuk isu dalaman sendiri seperti dihadapi Riyadh.

Dalam keadaan ekonomi mencabar, dan segala tindakan dasar luar di seluruh Asia Barat dan Afrika – meliputi Teluk Parsi hingga Laut Merah ke utara benua Afrika – memerlukan kos yang tinggi, menghentikan atau memgawal persaingan berkos tinggi dan berdamai ialah satu pilihan yang munasabah.

Di Yaman, perkembangan setempat berkait dengan situasi melibatkan Arab Saudi, yang juga sedang berunding dengan Iran untuk mencari ruang bernafas.

Satu perkembangan yang sudah berjalan ialah rundingan secara tidak rasmi antara Riyadh dengan Houthi sejak beberapa minggu lalu.

Perkembangan ini dinyatakan sedang berjalan oleh pegawai-pegawai Saudi, Yaman, dan PBB.

Antara yang disebut sebagai matlamat rundingan ialah mengukuhkan gencatan senjata tidak rasmi dan menyediakan jalan ke arah penamatan konflik.

Seorang diplomat Saudi dilapor berkata negaranya telah meminta Rusia dan China menekan Iran supaya tidak meningkatkan keganasan. Iran dikatakan menyokong agar gencatan tidak rasmi diteruskan.

Secara rasminya, gencatan senjata yang diusahakan PBB sejak Ramadan tahun lalu telah berakhir pada Oktober lalu.

Walau bagaimanapun, secara rasmi semua pihak bertindak mematuhi gencatan senjata secara tidak rasmi, walaupun berlaku beberapa serangan kemudahan minyak oleh Houthi.

Sehingga kini, keadaan di Yaman boleh dikatakan lebih aman, dan rundingan tidak rasmi antara semua pihak terlibat dijangka boleh mengekalkan keadaan positif di Yaman.

Leave a comment