Isu tentera kanak-kanak, atau kanak-kanak yang mengangkat senjata untuk berperang, bukan satu isu yang baru.
Di negara-negara yang teruk dilanda perang, senario ini sudah menjadi biasa atas banyak sebab, termasuk kerana kanak-kanak mudah dikawal.
Pada masa sama, faktor kekurangan tenaga, selain akibat terpaksa atau dipaksa untuk menyertai pasukan bersenjata juga menjadi faktor.
Dalam keadaan ini, tidak banyak pilihan, kepada orang dewasa dan ahli keluarga mahu pun kepada kanak-kanak terbabit.
Mereka hidup dalam keadaan menderita, dan masa depan, malah berapa lama hayat yang masih tinggal juga tidak pasti.
Ini menjadikan penglibatan dalam perang bukan satu pilihan yang sukar bagi sesetengah mereka.
Isu tentera kanak-kanak ini juga menjadi satu isu yang mendapat perhatian di Yaman.
Konflik bersenjata terbaru yang bermula sejak 2014 telah menambahkan kesan buruk perang ini.
Dalam satu laporan tahunan tentang kanak-kanak dan konflik bersenjata yang diterbitkan pada bulan Mei lalu, penyelidik PBB mendapati 211 kes kanak-kanak direkrut untuk terlibat dalam perang di Yaman pada tahun 2020.
Daripada jumlah ini, 134 orang ialah lelaki dan 29 kanak-kanak perempuan direkrut oleh kumpulan Houthi.
Houthi dilaporkan mengadakan kem pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja, yang antara pengisiannya ialah jihad memerangi kerajaan sebagai musuh yang disokong kuasa Barat.
Kem seperti ini ialah salah satu sumber Houthi mendapatkan kanak-kanak menyertai pasukan bersenjata mereka.
Walau bagaimanapun, bukan hanya Houthi yang mengambil kanak-kanak sebagai tentera.
Tentera kerajaan Yaman juga didapati mempunyai 34 orang anggota di bawah umur. Kumpulan lain yang berperang juga merekrut 14 orang lagi kanak-kanak dalam pasukan bersenjata mereka.
Yang paling banyak merekrut kanak-kanak ialah Houthi. Menurut pengkaji, Houthi sudah menarik 10,000 orang kanak-kanak menyertai pasukan bersenjata mereka sejak konflik bermula pada 2014.
Walaupun agak kurang kelihatan dalam laporan-laporan perang di Yaman, tentera kanak-kanak memenuhi landskap perang di negara itu.
Selain berperang, kanak-kanak juga diberi tugas bersenjata seperti mengawal keselamatan, yang memerlukan mereka mahir menggunakan senjata api.
Satu lagi sudut yang berbeza ialah ideologi dan agama yang mendorong berleluasanya fenomena ini.
Selain keperluan, pemahaman bahawa perang melawan musuh ialah jihad – yang dalam kes Houthi misalnya, melibatkan musuh asing yang disokong Barat dan Israel – memudahkan keadaan ini berlaku.
Inilah satu daripada banyak masalah yang telah membawa kepada krisis kemanusiaan di negara dilanda perang ini.
Kanak-kanak bukan sahaja dinafi daripada mendapat pendidikan, tetapi dipaksa mengambil tugas yang bertentangan dengan naluri mereka.
Penyertaan kanak-kanak dalam konflik bersenjata ini menghalang mereka daripada mendapat pendidikan yang sepatutnya bagi kanak-kanak seusia mereka.
Hal ini satu masalah yang mencabar, terutama sekiranya keadaan kembali pulih dan aman, yang bermakna kanak-kanak yang telah berkhidmat sebagai tentera ini hanya mempunyai kemahiran ketenteraan.